Waytha Moorthy Kata ICERD Tak Belakangkan Raja, Orang Melayu ?

0
95

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy mempertahan tindakan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak akan membelakangkan Majlis Raja-Raja dan orang Melayu.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) memberitahu, perbincangan mengenai ICERD akan dilaksanakan bagi mengetahui pendapat masyarakat.

“Kita akan bertemu semua pihak pada suku pertama tahun depan, tetapi apa yang saya katakan telah disalah tafsir sehingga ada pihak bimbang mereka tidak akan diberi peluang berbincang sebelum apa-apa keputusan dibuat.

“Ratifikasi tidak akan menjejaskan peruntukan Perlembagaan kita, sekiranya dipersetujui kita boleh melakukan pengecualian pada terma-terma tersebut,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan buku Pembangunan Kontemporari Orang Asli, di sini hari ini.

Waytha Moorthy berkata, keputusan akhir berkenaan ICERD bergantung kepada pertemuan bersama rakyat sebelum dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri.

Sebelum ini, Waytha Moorthy memaklumkan kerajaan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD.

ICERD adalah salah satu konvensyen antarabangsa hak asasi manusia yang telah berkuatkuasa dari tahun 1969, di mana negara yang meratifikasinya hendaklah menghapuskan segala bentuk diskriminasi bangsa dan kaum.

Untuk makluman, Artikel 5 (d) (vii) ICERD antara lain menyebut bahawa negara yang menandatangani konvensyen ini hendaklah menghapuskan semua bentuk diskriminasi kaum dan menjamin hak semua orang untuk kebebasan berfikir dan beragama.

SUMBER : Ismaweb

Loading...