Wakil rakyat DAP Sindir Tun M Bersatu Terima ‘Sampah’

0
52

Bagai sudah dijangka, tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima kemasukan bekas pemimpin UMNO, menimbulkan kegusaran dan rasa tidak senang parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Hari ini, seorang wakil rakyat daripada parti tamak haloba dan anti-Islam, DAP, menyindir Dr Mahathir dan Bersatu kerana menerima kebanyakan bekas ahli dan pemimpin UMNO menyertai parti itu.

Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu mendakwa, dia pernah mendengar Dr Mahathir menggelar pemimpin UMNO sebagai ‘tidak berguna’ dan ‘sampah’, sewaktu pertemuannya dengan beberapa aktivis serta NGO menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Saya masih ingat Dr Mahathir menggelar pemimpin UMNO ‘tidak berguna’ dan ‘sampah’. Jika mereka sampah, saya sendiri berharap Dr Mahathir tidak akan menjadi pengutip sampah dan membawa mereka yang lain masuk ke dalam Bersatu,” katanya hari ini.

Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), Ronnie berkata, pengerusi PH itu sudah dua kali melanggar janji apabila menerima ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menyertai Bersatu.

FMT melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek itu berkata demikian dalam kenyataan di laman Patreon.

Ronnie turut menyifatkan Dr Mahathir sebagai pengkhianat kepada pengundi jika berhasrat membawa masuk semua bekas pemimpin UMNO Sabah yang mengumumkan keluar parti semalam.

“Jangan katakan kepada saya sekarang ini Dr Mahathir mahu mereka masuk semula ke dalam kerajaan melalui pintu belakang Bersatu. Saya sedar Bersatu hanya mempunyai beberapa ahli Parlimen sahaja, berbanding DAP dan PKR.

“Namun saya yakin di masa akan datang Bersatu akan boleh menang lebih banyak kerusi. Bersabarlah, kenapa cuba segera membesar dengan cara begini. Ini bukanlah cara yang betul,” katanya.

Ronnie berkata, sekiranya Dr Mahathir membenarkan pemimpin UMNO dari Sabah yang keluar dan menyertai Bersatu, ia akan menyebabkan perkara baik dilakukannya musnah.

“Adakah Dr Mahathir tahu, pada satu ketika PKR hanya mempunyai seorang ahli Parlimen sahaja iaitu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

“Adakah Dr Mahathir juga tahu pada satu ketika kerusi ahli Parlimen DAP pernah berkurangan sebanyak 9 kerusi. Kita jaga dan kita membesar secara organik. Inilah caranya,” katanya.

Semalam, UMNO menerima tamparan apabila keseluruhan jawatankuasa perhubungan Sabah, termasuk pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dan 21 ketua bahagian keluar daripada parti itu, dan menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir.

Hajiji pada sidang media di Kota Kinabalu mengumumkan bahawa beliau bersama lima Anggota Parlimen, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan dua Senator meninggalkan UMNO dan mengisytiharkan menjadi ahli politik Bebas.

Pada PRU14 yang diadakan 9 Mei lalu, PKR memenangi 47 kerusi, DAP (42), Bersatu (13), PAN (11) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) (lapan).

SUMBER : Ismaweb