[VIDEO] Goalkeeper Malaysia Seperti Membaca Sesuatu Sebelum Penalti, Malaysia Mara Ke Final Piala AFF Suzuki

0
10087

Pasukan bola sepak Malaysia berjaya mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki selepas mengikat Thailand 2-2 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Rabu malam.

Thailand mendahului permainan menerusi tandukan Thitipan Puangchan pada minit ke-20 yang terkena pemain gantian, Muhammad Irfan Zakaria.

Walaubagaimanapun, Muhammad Syahmi Safari berjaya menyamakan kedudukan menjadikan keputusan pada separuh masa pertama, 1-1 pada minit ke-28.

Thailand sekali lagi mendahului perlawanan pada separuh masa kedua menerusi tandukan Pansa Hemviboon pada minit ke-63.

Kedudukan itu berjaya dipecahkan menerusi jaringan penyerang Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-71 sekaligus menjadikan keputusan 2-2.

Malaysia melalui detik cemas pada saat akhir perlawanan kerana terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Muhammad Syahmi dilayangkan kad merah oleh pengadil apabila tangannya terkena bola di dalam kotak penalti.

Thailand pula diberikan sepakan penalti, namun nasib menyebelahi skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu apabila sepakan yang diambil Adisak Kraisorn melewati palang gol, sekaligus mengekalkan keputusan, 2-2.

Kelihatan Farizal Marlias seperti membaca doa sebelum penalti diambil oleh pemain Thailand.

Keputusan seri itu sudah mencukupi untuk Malaysia layak ke final menerusi peraturan ‘away goal’ atau gol di tempat lawan.

Malaysia bakal bertemu sama ada Vietnam ataupun Filipina di final nanti, namun ia bergantung pada siapa yang menang dalam aksi timbal balik perlawanan separuh akhir pada Khamis.

SUMBER : Yoy Network