Ulama Tersohor Meninggal Dunia Setelah Disiksa Dengan Kejam Komunis China

0
113

Seorang Ulama yang paling dihormati dan terkenal dalam kalangan umat Islam Uighur di China iaitu c rupa-rupanya telah meninggal dunia selepas diseksa rejim Komunis. Beliau amat dihormati kerana menjadi ulama pertama yang menterjemahkan Al-Quran ke dalam Bahasa Uighur.

Beliau dilaporkan meninggal dunia selepas dikurung di kem tahanan China selama 40 hari mulai Disember 2017. Lebih dahsyat lagi, ahli keluarga beliau yang lain turut ditahan secara besar-besaran – termasuklah anak saudara beliau, Nurmemet Hajim yang pernah menuntut di Malaysia dan bekerja di pelbagai pejabat kedutaan.

Selain itu turut ditahan ialah anak perempuan Muhammad Salih Hajim iaitu Nezire Muhammad Salih (guru agama) dan Asiye Muhammad Salih (pensyarah universiti), anak lelaki beliau Nejip Muhammad Salih (petani), dan juga cucu lelaki beliau Imran Tuniyaz. Tidak ketinggalan, adik beliau iaitu Mehsud Abley Hajim dan isterinya Ayshemqiz turut ditahan manakala anak lelaki sulung mereka kini tinggal dalam buangan di luar negara.

Sebelum ini, telah tersebar secara meluas akan laporan mengenai layanan kerajaan China ke atas Umat Islam berketurunan Uighur – mereka dilayan ibarat pesakit mental di kem tahanan khas untuk mengubah identiti mereka agar menjadi lebih ‘China’. Langkah ini menyusuli beberapa tindakan seperti kempen ‘anti-Halal’ dan pengubahan demografi penduduk Xinjiang yang majoritinya sebelum ini terdiri daripada Uighur yang beragama Islam kini dibanjiri kedatangan etnik Han China.

Pada Ogos 2018, Jawatankuasa PBB tentang Penghapusan Diskriminasi Perkauman telah melaporkan bahawa seramai satu juta warga Uighur telah ditahan di pusat “anti-keganasan” di China manakala sebesar dua juta orang lagi dipaksa menjalani “indoktrinasi kebudayaan dan politik” yang disebut sebagai “pendidikan semula” ke atas mereka agar mentaati rejim Komunis dan mengubah identiti Islam mereka.

Laporan Rukiye Turdush dalam portal Al-Jazeera menyatakan bahawa rejim Komunis China memisahkan anak-anak Uighur secara paksa daripada keluarga mereka dan ditempatkan di sekolah-sekolah khas untuk memaksa mereka mempelajari peraturan Komunis China, mentaati Parti Komunis China, belajar Bahasa Mandarin, dan menghapuskan identiti Muslim serta tradisi Uighur mereka.

Setiap keluarga Uighur turut dipaksa menerima kader Parti Komunis China untuk tinggal di rumah mereka sekurang-kurangnya selama lima hari dalam tempoh setiap dua bulan. Program ini jelas sekali menceroboh unit keluarga Uighur dan cukup membimbangkan dari segi impaknya ke atas keberadaan umat Islam Uighur di Xinjiang.

Kesemua langkah terdesak ini berpunca daripada kebimbangan China terhadap kebangkitan Muslim Uighur yang semakin berani memperjuangkan hak dan autoriti politik mereka – termasuklah kewujudan puak pemisah Uighur yang memperjuangkan kemerdekaan Xinjiang untuk membentuk negara Turkistan Timur.

Terbaru, tindakan kerajaan Malaysia membebaskan 11 orang warga Uighur yang dikehendaki oleh China telah mengundang bantahan keras rejim Komunis itu. Perdana Menteri Tun Mahathir sebaliknya mengatakan bahawa keputusan diambil untuk menghantar kesemua warga Uighur ke Turki atas alasan ‘mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan’.

Dari segi politik dan moral, langkah kerajaan menghantar warga Uighur ini ke Turki dan mengingkari permintaan China yang mahu menahan mereka adalah langkah yang tepat sama sekali. Dengan rekod pembunuhan politik dan hak asasi manusia yang buruk, tentulah China akan mengambil tindakan yang buruk ke atas 11 warga Uighur ini.

Namun begitu, kemudiannya Portal South China Morning Post (SCMP) melaporkan bahawa Tentera Laut China akan datang menjalankan latihan di Selat Melaka bersama Malaysia dan Thailand mulai 20 Oktober ini. Latihan selama sembilan hari yang berhampiran Port Dickson dan Pelabuhan Klang serta diberi nama ‘Peace and Friendship 2018’ itu akan menyaksikan kehadiran tiga kapal pemusnah dan frigat China, dua helikopter ‘shipborne’, tiga kapal pengangkut pesawat Il-76 serta 692 orang anggota tentera laut China.

Pastinya, tiada apa yang pelik tentang kedatangan tentera China ke Selat Melaka ini jika difahami bahawa Tentera China pernah menjalankan latihan bersama angkatan tentera Malaysia sejak 2014 dan 2015 lagi dengan nama yang sama iaitu ‘Peace and Friendship’ (Keamanan dan Persahabatan). Malah, latihan tersebut tetap diadakan meski pun sejak 2013 lagi diketahui bahawa kapal-kapal China menceroboh Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali dan Beting Serupai di perairan Sarawak.

Cuma dalam konteks politik semasa – dalam keadaan Jho Low masih dikatakan bersembunyi di China dan pembantaian China ke atas warga Muslim Uighur masih berlangsung – mungkin ada eloknya jika kedatangan tentera China ke Selat Melaka ini ditangguhkan atau dibatalkan terus.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)