TMJ Akhirnya Bersuara Tentang Pembinaan Jambatan Bengkok. Dari Bina Jambatan Baik Sambung Projek

0
54

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berpendapat kerajaan perlu meneruskan pembinaan Hospital Pasir Gudang, berbanding meneruskan pembinaan jambatan bengkok.

TMJ membuat kenyataan itu menerusi akaun Twitternya selepas seorang pengikutnya bertanya pendapat mengenai hasrat kerajaan negeri Johor meneruskan semula projek pembinaan jambatan bengkok yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum bersara pada tahun 2003.

“Pada pendapat saya, lebih baik teruskan pembinaan hospital di Pasir Gudang yang kerajaan tangguh sebelum ini dan menambah bajet kesihatan untuk negeri.

“Semua hospital di Johor Bahru termasuk di daerah lain juga memerlukan lebih banyak katil dan peralatan perubatan. Ini hanya pendapat dari rendah hati saya,” titah TMJ.

TMJ turut bersetuju jika Johor mempunyai hab kesihatan dan beliau bersedia turut turut terbabit.

“Matlamatnya bukan hanya untuk menyediakan kemudahan perubatan kelas pertama kepada mereka yang memerlukan tetapi juga untuk membantu melatih dan mendidik rakyat tempatan, selain dilengkapi dengan keperluan farmasi dan pakar kesihatan yang berkelayakan,” katanya.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, menyatakan cadangan untuk meneruskan semula projek pembinaan jambatan bengkok.

Jambatan bengkok atau Jambatan Indah adalah projek jambatan sepanjang 1.4 kilometer bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang digunakan sejak 1923.

Idea pembinaan jambatan bengkok tercetus kerana Singapura tidak mahu mengubah Tambak Johor yang menjadi struktur penghubung di sempadan negaranya.

Seni bina jambatan bengkok itu lebih tinggi bagi membolehkan kapal kecil melepasi Selat Johor namun Singapura enggan berkompromi dengan konsep itu.

Projek itu dibatalkan tahun 2006 pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Jambatan Bengkok Perlu Utama Manfaat Rakyat – Najib

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menilai manfaat jambatan bengkok kepada rakyat jika mahu menyambung semula projek berkenaan bagi menggantikan Tambak Johor.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ia berikutan projek itu dibatalkan ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri dan pampasan sudah dibayar kepada kontraktor berkaitan.

“Soalnya sekarang sama ada jambatan itu akan memberi manfaat kepada rakyat atau tidak, ini kena nilai dan cabaran untuk kerjasama dengan Singapura kerana negara itu tidak mahu meruntuhkan Tambak Johor sedia ada,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian menyatakan kerajaan bercadang meneruskan semula projek pembinaan jambatan bengkok yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.

Jambatan bengkok diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum bersara pada 2003 namun projek itu dibatalkan pada 2006.

Projek asal jambatan itu yang juga dipanggil Jambatan Indah ialah sepanjang 1.4 kilometer bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang digunakan sejak 1923.

Mengulas lanjut, Najib berkata, Singapura masih mahu mengekalkan Tambak Johor untuk tempoh 30 tahun lagi kerana percaya ia masih boleh digunakan.

“Ketika saya menjadi Perdana Menteri, saya cuba juga minta Singapura mansuhkan Tambak Johor untuk buat jambatan baharu yang sesuai dengan era sekarang tetapi mereka tidak setuju.

“Ini kerana Singapura mahu guna tambak itu untuk 30 tahun lagi dan tidak mahu keluar dana baharu, sebab itu tidak dapat persetujuan,” katanya.

SUMBER : Bharian Online

Loading...