Tidak Perlu Berlumba-Lumba Tunjuk Islamik – Mujahid

0
153

BANGI – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melahirkan kebimbangan terhadap perkembangan terkini mengenai hukuman sebat ke atas pesalah yang membabitkan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa, ketika negara mencapai dasar Maqasid Syariah sebagai teras pentadbiran, ada negeri yang berlumba-lumba untuk melaksanakan hukuman itu.

Katanya, perkara itu dipandang serius oleh kerajaan kerana terdapat fahaman lain dalam mencerminkan pentadbiran mana yang lebih Islamik.

“Kita bimbang sejak apa yang berlaku di Terengganu, dengan segala penghormatan kita kepada peruntukan undang-undang dan kuasa negeri tetapi yang lebih besar lagi kita bimbang hari ini sudah keluar kenyataan yang menyatakan bahawa negeri lain pun akan sebat dan dibuat di khalayak ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 500 peserta Fiqh Kewarganegaraan (Al-Muwatonah) dalam era Malaysia baharu di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) hari ini.

Semalam, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri dalam proses untuk mewartakan pindaan hukuman sebatan di khalayak umum bagi pesalah jenayah Syariah.

Turut dicadangkan hukuman dalam dewan tertutup, di dalam atau kawasan masjid dan stadium.

“Ada satu negeri kata mereka akan buat di stadium. Apakah ini yang kita kehendaki dari sudut Maqasid Syariah?

“Apakah kita ingin berlumba-lumba untuk siapa lebih ramai yang menyaksikan hukuman itu.

“Kalau di Terengganu ada 100 orang lihat, maka mereka nak buat lebih banyak lagi. Di mana Maqasidnya,” katanya yang dipercayai merujuk kepada kenyataan Kerajaan Negeri Kelantan.

Isu sebat terhadap pesalah LGBT tercetus apabila Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada Isnin lalu mengenakan hukuman enam sebatan terhadap dua pesalah wanita berusia 22 dan 32 tahun setelah didapati bersalah cuba melakukan hubungan sejenis di dalam sebuah kereta, April lalu.

Hukuman itu adalah yang pertama kali berlaku di negara ini membabitkan kesalahan seumpamanya.

Pelaksanaan hukuman itu disaksikan oleh lebih 100 orang termasuk pengamal media, keluarga dan Peguam Syarie.