Tiada Lagi Ketukan Pintu Tengah Malam Cegah Khalwat – Mujahid Rawa

0
142

KUALA LUMPUR – Tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.

Sebaliknya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup adalah bukan urusan kerajaan.

“Katakanlah kamu melakukan sesuatu secara peribadi, dalam kawasan persendirian, saya tidak akan masuk campur.

“Contohnya, Islam melarang minum arak tetapi jika kamu melakukannya di dalam kawasan kamu sendiri, maka sebagai kerajaan, saya tidak akan masuk campur.

“Kebimbangan saya adalah apa yang berlaku di khalayak umum yang mencemarkan sensitiviti, sahsiah atau jenayah. Hanya itu yang kerajaan terlibat, bukan kerana kita mahu menjadi ‘polis moral’ tetapi kita mahu menjamin kesejahteraan awam,” katanya dalam temubual eksklusif bersama The Star.

Dalam temubual itu, Mujahid turut dilaporkan mengutuk tindakan memecahkan pintu untuk menahan pesalah khalwat dan berharap ia tidak akan berlaku dalam pembaharuan yang akan dilakukan nanti.

“Isu penguatkuasaan khalwat ini telah disalahgunakan dan dieksplotasi untuk sesetengah kes. Adalah sangat penting mereka (pegawai penguatkuasa) tidak terlibat dalam lingkungan persendirian,” katanya.

Mujahid yang memegang potfolio Hal Ehwal Agama Islam mengakui beliau berdepan dengan pelbagai cabaran untuk mengubah imej jabatan itu.

Beliau sebelum ini diuji sebaik menjejakkan kaki ke jabatan itu termasuk kes melibatkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), perkahwinan bawah umur, penipuan awam di mahkamah syariah dan gangguan seksual di sekolah tahfiz.

Mujahid juga berkata, beliau juga sedang mencuba untuk mengubah minta penjawat awam yang digambarkan sebagai konservatif agama yang mahu menegakkan kesucian Islam dengan pemahaman mereka sendiri.

SUMBER : Sinar Harian