Seorang Pemegang Ijazah PHD & Mantan Pensyarah Berbangsa India USM Bangkit Membela Bahasa Melayu!

0
578

Daulat Tuanku Sultan Selangor atas titah baginda kepada kerajaan Selangor menukarkan balik semua papan tanda jalan kepada Bahasa Melayu. Sekiranya gagal mematuhi titah baginda, rakyat Selangor harus tubuhkan pasukan2 ingkar sivil untuk membetulkan papan2 jalan tersebut sendiri dengan cat penyembur.

Warga Selangor perlu nyatakan protes yang paling tersohor terhadap mana2 pihak yang cuba mencabar atau mengenepikan peruntukkan dalam Perlembagaan Malaysia, khususnya perkara yang melibatkan bangsa, agama, hak dan bahasa rasmi. Agenda sedemikian dari pihak2 bertopengkan alasan hak asasi manusia sejagat sambil mengibarkan bendera ‘Malaysia Baru’ sewajarnya ditolak.

Selama ini, rakyat Malaysia yang disekolahkan dalam medium Bahasa Melayu tidak pernah menolak kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris. Ramai pelajar Melayu dan bukan Melayu berjaya memperolehi gred cemerlang dalam kedua subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serentak. Tidak pernah timbul situasi di mana pelajar harus memilih bahasa kedua sambil mengenepikan bahasa rasmi.

Tanggapan ahli2 kerajaan baru bahawa bahasa rasmi, bahasa kedua dan bahasa ibunda harus mendapat penekanan yang sama mencerminkan kegagalan logik, terutama sekali dalam kerajaan pusat dan negeri yang sendiri berunsur dan berjiwakan Bahasa Melayu.

Sikap pemimpin yang acuh tak acuh terhadap bahasa kebangsaan kitalah yang menggalakkan Menteri sendiri menolak Bahasa Melayu sebagai medium pengajaran kurikulum negara. Kononnya, Bahasa Melayu tidak relevan lagi dalam dunia sains dan teknologi era terkini. Ini ialah falasi terbesar yang dimajukan kerajaan baru dalam usaha menggubal dasar pentadbiran Malaysia Baru yang mereka idam-idamkan.

Sebagai mantan pensyarah kejuruteraan awam Universiti Sains Malaysia, saya dapati tanggapan seperti ini terbit dari pemahaman ilmiah yang cetek. Umpama mitos yang dipegang masyarakat mundur. Tesis kedoktoran saya sendiri bermula dengan muqadimah dalam Bahasa Melayu untuk memenuhi keperluan prasyarat yang ditetapkan pihak Senat universiti. Namun saya masih berjaya memenangi pelbagai anugerah kertas terbaik kejuruteraan dalam sebilangan konferens dan symposium kejuruteraan antarabangsa dalam Bahasa Inggeris.

Renung2kan, Fikir2kan: Sekiranya tesis kejuruteraan PhD (yang merangkumi hipotesis, teori dan formula matematik yang rumit) mampu disintesiskan dalam dua mukasurat muqadimah Bahasa Melayu, tidakkah ini membuktikan kesesuaian penggunaan Bahasa Melayu dalam bidang kejuruteraan?

Tahukah Anda? Bahasa Inggeris sendiri bukanlah bahasa asal sains dan teknologi. Ahli sains terkemuka Inggeris Isaac Newton sendiri tidak menerbitkan karyanya dalam Bahasa Inggeris tetapi dalam bahasa Latin. Robert Hooke yang turut mengungkapkan hukum2 fizik berkenaan jirim dan kekenyalan bahan telah juga memilih bahasa Latin sebagai medium pengajaran. Hukum2 klasik luas, isipadu dan sesaran bendalir seperti Teorem Pythagoras dan Prinsip Archimedes pula ditulis dalam bahasa Yunani.

Siri karangan Blaise Pascal yang mengurniakan dunia sains hukum kun, sfera padu, vakum dan sistem penomboran Binari diterbitkan dalam bahasa Perancis. Teori cakrawala dan kajian graviti ilmu falak oleh Johannes Kepler ditulis dalam bahasa Jerman. Malah hukum2 kajiterbang, daya angkat dan tujahan yang kini digunakan dalam rekabentuk pesawat sebahagian besarnya berdasarkan lukisan Leonardo da Vinci dalam bahasa Itali.

Kejayaan ahli sains Inggeris memajukan bidang sains mereka mulai zaman Revolusi Industri sehingga mempelopori industri perkapalan dan armada ketenteraan yang terbesar di dunia bukanlah disebabkan kefasihan mereka bertutur dalam bahasa asing seperti Latin, Perancis, Jerman atau Itali. Kemajuan Inggeris bermula dengan kesanggupan mereka sendiri mencari penterjemahan dan interpretasi terbitan ilmiah dari bahasa asing kepada bahasa kebangsaan mereka. Bukan mengabaikan tanggungjawab memartabatkan bahasa kebangsaan mereka semata-mata untuk berebutkan label negara maju.

Inilah beza antara negara yang maju dan negara yang mundur. Negara mundur selalunya dipimpin oleh pemimpin yang kurang yakin dengan kebolehan rakyatnya sendiri. Inilah yang mendorong pemimpin seperti ini meniru negara lain dengan pelbagai dasar yang tidak membawa manfaat.

Negara maju tidak perlu pandang ke timur, ke barat, utara, selatan, timur laut atau tenggara. Keyakinan pemimpin negara maju selalunya tertuju kepada tenaga pekerja dan kebolehan rakyat sendiri. Kerajaan mereka cekal meneroka terjemahan dan interpretasi yang sesuai untuk membantu modal insan mereka menjadi golongan tenaga pekerja yang mahir dan berupaya merealisasikan wawasan masing2.

Cuba nilai negara Asia Timur seperti Jepun, Korea dan Taiwan yang sudah lama mencapai status negara maju tanpa mengabaikan bahasa kebangsaan masing-masing.

Terjemahan takrif, konsep dan terminologi bahasa asing kepada bahasa tempatan mungkin sukar tapi yang pastinya, bukan mustahil. Saya sendiri terpaksa menerangkan konsep2 kejuruteraan asas seperti tegasan mampatan (compressive stress), tegasan tegangan (tensile stress), tegangan terikan (tensile strain) dan terikan lenturan (flexile strain) kepada mahasiswa. Namun tidak pernah gunakan alasan ‘batasan bahasa’ untuk mengabaikan tanggungjawab saya sebagai pengajar.

Ini sebab saya sedar bukan semua anak murid kita dibesarkan di bandaraya atau metropolis. Bukan semua pelajar berupaya menikmati tahap pendedahan Bahasa Inggeris yang sama seperti pelajar yang disekolahkan di Kuala Lumpur, Georgetown atau Johor Bahru. Profil mahasiswa merangkumi pelajar Kuala Lumpur bersebelahan pelajar dari Sg Bogak, Pengkalan Chepa, Bario atau Kunak.

Rayuan peribadi saya kepada kerajaan PH: Cubalah yakin dahulu dengan bahasa kebangsaan sendiri, kebolehan sendiri dan identiti negara sendiri. Setiap cabaran dan masalah semestinya ada penyelesaian selagi ada iktibar. Jangan biarkan bahasa dan institusi kebangsaan kita merosot semata-mata kerana kerajaan telah bertukar.

SUMBER : Facebook Samantha Sambun Karasu