Saya mencadangkan Anwar Ibrahim jadi Presiden Umno” – Jamal Yunos.

0
287

PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos membuat kejutan apabila mencadangkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden parti itu pada sesi pemilihan akan datang.

Menerusi video yang tular di media sosial, Jamal turut mencadangkan naib presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalannya.

“Saya mencadangkan untuk pemilihan yang akan datang ini supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden Umno dan Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai timbalan presiden Umno,” katanya dalam sebahagian daripada video yang berdurasi lebih seminit itu.

Menerusi video tersebut juga, Jamal sekali lagi mengumumkan keputusan beliau bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti itu.

“Kenapa saya bertanding? Di dalam Umno menghadapi cabaran yang sangat mencabar ini, insyaAllah jika saya dipilih oleh perwakilan Pemuda, saya akan beriltizam untuk membangunkan kembali Pemuda supaya Pemuda Umno ini bermaruah dan terus dihormati demi kejayaan di waktu yang akan datang,” katanya.

Selain itu, Jamal turut mencadangkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan naib presiden yang menjalankan tugas timbalan presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bertanding bagi jawatan naib presiden parti.

Hishammuddin yang juga Ketua Umno Bahagian Sembrong sebelum ini mengumumkan untuk tidak bertanding dalam sebarang jawatan di peringkat pusat .

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah disebut-sebut akan bertanding jawatan Presiden Umno.

Bagaimanapun, beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li dilaporkan berkata, akan beristikharah bagi mendapat petunjuk sama ada mahu menawarkan diri bertanding jawatan presiden atau tidak, selepas mengambil kira desakan ramai yang inginkan beliau merebut jawatan tersebut.

INFORMASI

Presiden UMNO merujuk kepada jawatan tertinggi dalam parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, Malaysia dan pernah dibatalkan pendaftarannya pada tahun 1980-an. Presiden pertama dan pengasas UMNO ialah Allahyarham Dato’ Onn Jaafar.

Majlis Tertinggi UMNO merupakan badan yang menjalankan pentadbiran hal ehwal UMNO. Sebarang keputusan dalam Perhimpunan Agung UMNO maka Majlis Tertinggi UMNO hendaklah melaksanakannya. Tugas dan tanggungjawab Majlis Tertinggi UMNO tertakluk kepada Fasa 9 dan Fasa 10 Perlembagaan UMNO. Tempat mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO telah dipindahkan ke Menara Dato Onn, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, Malaysia.

Naib Presiden UMNO adalah jawatan ketiga tertinggi dalam UMNO. Jawatan tersebut akan disandang oleh tiga orang pada satu-satu masa. Ketua Wanita UMNO, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan Ketua Puteri UMNO juga adalah Naib Presiden UMNO dalam Majlis Tertinggi UMNO.

Majlis tertinggi UMNO mestilah mematuhi arahan Pendaftar Pertubuhan, Akta Pertubuhan 1966. UMNO pernah diharamkan pada 1988 apabila beberapa bahagian/cawangan tidak berdaftar dibenarkan mengundi dalam Perhimpunan Agung UMNO 1987.

DISEDIAKAN OLEH : DIYANA