“Saya Maafkan Dia Sumbat Saya Dalam Penjara, Tapi..” – Anwar Ibrahim

0
185

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaafkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meskipun beliaulah yang ‘menyumbatnya’ ke dalam penjara.

Namun begitu, Anwar menegaskan kemaafan itu hanya untuk apa yang telah diperlakukan kepada dirinya, manakala hal berkaitan rasuah perlu diselesaikan mengikut lunas undang-undang.

“Dia penjarakan saya, dua minggu pertama saya tidur atas simen. Tak mengapa, saya maafkan.

“Tapi bab duit rakyat, perlu ikut saluran yang betul. Kalau salah, nasiblah. Apa saja yang anda ambil daripada rakyat, anda mesti bertanggungjawab,” katanya dalam sesi Dialog Bersama Anak Muda di Kuala Lumpur, hari ini.

Sesi dialog anjuran Anwar Ibrahim Club selama dua jam itu dihadiri kira-kira 100 peserta, dan turut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon popular Zahirah MacWilson.

Sebelum sesi dialog itu, Anwar telah melancarkan buku tulisan Dr Syed Husin Ali, berjudul A People’s History of Malaysia.

Sumber – Astroawani