‘Saya Dah Harumkan Nama Perak Bertahun-Tahun. Jika Ini Layanan Kepada Saya, Tak Mengapalah’ – Ustaz Kazim Elias

0
1495

SHAH ALAM – “Saya dah mengharumkan nama Perak bertahun-tahun, majukan sekolah tahfiz saya bertahun-tahun tapi kalau macam ini layanan diberikan kepada saya, tidak mengapalah. Saya buat kerja untuk Tuhan.”

Demikian reaksi Datuk Mohd Kazim Elias yang kelihatan kecewa apabila sehingga kini kerajaan negeri masih belum menghubunginya dalam proses mengambil alih pusat tahfiz tersebut.

Beliau berkata, situasi sebegitu menyebabkan pendakwah itu kini tidak lagi meletakkan sebarang harapan, namun memaklumkan pusat pengajian tersebut akan mempunyai pengurusan baharu bermula 1 September nanti.

Menurutnya, bangunan yang dikatakan akan dijual di pusat tahfiz itu juga akan diserahkan sepenuhnya kepada pengurusan baharu tanpa dikenakan bayaran atau sewa, cuma sambung menguruskannya sahaja.

“Macam saya cakap sebelum ini, sebelum saya nak jual, saya nak minta pengusaha tahfiz ambil alih sekolah saya tapi mereka tidak sanggup. Selepas isu ini tular, ada satu maahad tahfiz sanggup ambil alih pada 1 September ini.

“Saya tiada lagi unit tahfiz di sekolah tersebut dan akan memberi tumpuan kepada sekolah pondok sedia ada. Saya tak ambil bayaran pun bila mereka ambil alih. Mereka nak ambil alih pun saya bersyukur dah,” katanya ketika ditemui selepas selesai wacana, semalam.

Mohd Kazim berkata, beliau bersedia bertemu dengan kerajaan negeri berhubung soal pengambil alihan sekolahnya, namun sehingga kini tiada perkembangan positif daripada kerajaan negeri.

Lebih mengecewakan, katanya, ada pihak yang sebelum ini sedia membantu Pusat Tahfiz Al Barakah, bagaimanapun mengundurkan diri sebaik kerajaan negeri mengumumkan akan membantu pusat pengajian tersebut.

Kerajaan Negeri Sedia Bantu Ustaz Kazim Elias

Terdahulu, Masalah kewangan yang dihadapi Pusat Pendidikan Al-Barakah sehingga memaksa pengasas dan pengetuanya, Datuk Kazim Elias menjual Unit Tahfiz pusat berkenaan tidak diketahui oleh Kerajaan Negeri Perak.

Pengerusi Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, pihaknya sehingga kini tidak menerima sebarang makluman atau laporan dari sesiapa pun, termasuk dari Kazim sendiri.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka dan boleh mengadakan perbincangan pada bila-bila masa dengan pengurusan pusat berkenaan sekiranya pusat itu memerlukan bantuan daripada kerajaan negeri.

“Kalau mahu bantuan tidak ada masalah, boleh jumpa terus dengan saya, saya pun tak tahu masalah mereka sebab mereka pun tak pernah berhubung dengan saya.

“Sesiapa pun boleh jumpa dengan saya bukan Al-Barakah sahaja, kita (kerajaan negeri) akan lihat keperluan, kalau kita boleh bantu, kita akan bantu selesaikan,” katanya.

Datuk Kazim atau dikenali sebagai Ustaz Kazim ketika ditemui NSTP, hari ini mengesahkan akan menjual Unit Tahfiz Al Barakah di Pusat Pendidikan Al-Barakah miliknya disebabkan tidak mampu menampung kos pentadbiran pusat berkenaan.

Keputusan sedih itu terpaksa diambil Ustaz Kazim berikutan tidak mampu lagi untuk menampung kos pentadbiran keseluruhan pusat berkenaan yang kini mencecah RM150,000 sebulan.

Ustaz Kazim turut memaklumkan masalah itu disebabkan beliau kurang menerima jemputan kuliah serta ceramah kerana kos pentadbiran pusat berkenaan digunakan melalui pendapatan diperolehnya.

Beliau mengakui sejak dua tiga bulan lalu seperti ada satu usaha menyekat ceramahnya atau ceramahnya dibatalkan dan dihalang hingga tidak mampu menampung Al Barakah.

Sementara itu, Asmuni turut menegaskan kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan menghalang mana-mana tokoh penceramah agama termasuk Ustaz Kazim daripada menerima jemputan berceramah di masjid dan surau di negeri ini.

Katanya, pengurusan jawatankuasa kariah masjid dan surau di seluruh negeri masih lagi berfungsi di bawah lantikan kerajaan terdahulu.

SUMBER : Express Viral