Samsul Yusof Saman RM100,000 Selepas Nasihat Beliau Tidak Diendahkan

0
921

Seorang kakitangan syarikat rekaan grafik telah diarahkan membayar sebanyak RM100,000 kepada Skop Productions Sdn. Bhd. berhubung kesalahannya menyebarkan rakaman karya arahan Syamsul Yusof berjudul Munafik 2 tanpa kebenaran di media sosial.

Pemuda berkenaan, Muhammad Izwan Shah Kamal Shah, 30, yang mengaku bersalah juga telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Taiping, agar tidak melanggar hak cipta untuk filem Munafik 2 dan mana-mana bahagian dari naskhah berkenaan tanpa keizinan.

Pemilik Skop Productions Sdn. Bhd. Datuk Yusof Haslam berkata, arahan pembayaran berkenaan sepatutnya dijadikan pengajaran kerana ia bukan perkara kecil.

Kata beliau lagi, tindakan tersebut bertujuan untuk memberi pengajaran dan membendung masalah yang semakin merebak dalam kalangan industri perfileman tempatan.

“Ini adalah arahan mahkamah selepas pesalah mengaku kesalahan yang telah dilakukannya. Perkara ini tidak boleh main-main, saya harap ia dapat dijadikan pengajaran kepada mereka yang mempunyai niat untuk menyebarkan hasil kerja orang lain tanpa kebenaran.

“Ia bukan hanya untuk Skop Productions, tetapi untuk syarikat produksi lain yang pernah menerima nasib sama seperti kami,” katanya yang turut hadir menyaksikan perbicaraan berkenaan di Mahkamah Tinggi Taiping, sebentar tadi.

Terdahulu, pada 20 September lalu, Skop Productions telah membuat satu laporan di Balai Polis Setapak selepas berjaya mengesan individu yang telah menyebarkan naskhah Munafik 2 tanpa keizinan menerusi dua laman sosial dengan akaun profil Sasuke Kun dan @muhammad_izwan_shah.

Filem Munafik 2 yang dibintangi oleh Syamsul, Maya Karin dan Nasir Bilal Khan mula ditayangkan pada 30 Ogos lalu. Naskhah tersebut berjaya meraih kutipan sebanyak RM43 juta menerusi tayangan di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.