Sampai Tidak Boleh Tidur Mengenangkan Bagaimana Nak Hubungi Semula Pemandu GRAB Tersebut

0
68

PETALING JAYA: Kisah seorang pemandu e-hailing yang enggan mengambil bayaran daripada pelanggannya tular di media sosial dan menerima pujian netizen.

Pelanggan bernama Zamri Mohamed, 41, berkata, dia memuat naik posting tentang insiden itu di Facebook kerana tidak sempat mengucapkan terima kasih kepada pemandu GrabCar berkenaan.

“Sudahlah dia tolong mengangkat saya yang berkerusi roda ke dalam keretanya dari mula sampai habis, kemudian bila dah sampai destinasi, dia enggan ambil bayaran pula.

“Saya hulur duit nak bayar, tapi dia tak nak ambil dan macam bergegas pergi tanpa saya sempat ucap terima kasih,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

Zamri yang menghidap kanser paru-paru tahap empat menggunakan khidmat pemuda tersebut untuk perjalanan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) pulang ke rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya.

Caj bagi perjalanan sejauh hampir 20 kilometer itu adalah RM24.

Menurut bapa kepada lapan anak itu, keikhlasan pemandu tersebut membuatkan dirinya terharu dan seolah-olah tidak percaya dengan sikap murni yang ditunjukkan oleh pemuda berkenaan.

Katanya, pemuda berusia lingkungan 20-an tersebut bertubuh sasa dan memiliki ketinggian enam kaki.

“Mungkin dia simpati dengan saya. Dia juga tawarkan untuk hantar saya naik ke atas (rumah), tapi saya cakap saya boleh naik ke sendiri.

“Saya berasa ralat sampai tak boleh tidur dan terfikir apa yang perlu dilakukan. Saya muat naik tentang insiden itu di Facebook kerana saya nak cari dia memandangkan saya tidak memiliki nombornya,” jelas Zamri.

Tambah bekas pemandu lori berkenaan, pemandu GrabCar tersebut ada menghubunginya menggunakan nombor yang disertakan di Facebook selepas posting itu tular.

Kata Zamri, pemuda itu memintanya agar tidak menceritakan tentang kejadian tersebut di Facebook kerana dia berasa segan.

Pada posting tersebut, Zamri turut memuat naik gambar pemandu bernama Hanif Rusli, namun jelasnya, ia bukanlah gambar sebenar pemandu yang membantunya.

“…yang netizen tak tahu, nama Hanif tu bukan pemandu tersebut. Hanif ialah abang dia dan dia terpaksa guna akaun abangnya kerana akaunnya telah digantung oleh pihak GrabCar.

“Mungkin sebelum ini, dia pernah tolak tempahan pelanggan beberapa kali,” jelas Zamri yang kerap berulang alik ke HKL seorang diri dengan menaiki Grabcar.

SUMBER : Mstar Online

Loading...