‘Saham TM Jatuh, Jangan Salahkan Menteri’

0
36

Petisyen yang dikongsikan secara meluas oleh kakitangan Telekom Malaysia itu mendesak beliau meletak jawatan.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak seharusnya dijadikan kambing hitam terhadap kejatuhan saham TM, kata menterinya Gobind Singh Deo.

“Anda mahu kata tiada faktor lain? Jadilah realisitik. Tengok saja pada harga, telco lain dah turun harga dan melaporkan peningkatan jualan.

“Takkanlah pegawai kerajaan langsung tak boleh bertanya langsung? Tak boleh cakap apa-apa?

“Kalau macam tu, perubahan yang kita mahukan tak akan berlaku. […] Dalam bidang perkhidmatan, kena ingat, pelanggan dan perkhidmatan adalah sangat penting,” katanya.

Beliau mengulas petisyen yang dikongsikan secara meluas oleh kakitangan TM yang mendesak beliau meletak jawatan dan mendakwa beliau bersikap berat sebelah terhadap syarikat penyedia perkhidmatan internet itu.

Petisyen itu juga mendakwa setiap keputusan kerajaan lebih memberikan manfaat kepada Maxis berbanding situasi menang-menang kepada semua pesaing, sehingga saham TM merudum dari sekitar RM6 ke RM2.27, manakala saham Maxis kekal kuat pada RM5.40.

Petisyen tersebut telah mengumpul 23,414 tandatangan setakat pukul 6.16 petang hari ini.

Telco perbaiki kualiti perkhidmatan

Biarpun berdepan dengan petisyen berkenaan, Gobind menegaskan tidak akan sesekali berhenti bersuara untuk kepentingan rakyat.

“Ini ialah negara yang bebas. Semua orang berhak buat petisyen, silakan.

“Tapi nasihat saya kepada Telekom Malaysia Berhad (TM) dan semua syarikat telco, ringkas sahaja perbaiki (mutu perkhidmatan), barulah seluruh rakyat akan menyokong kamu.

“Saya tak akan berhenti bercakap mewakili rakyat, saya tak akan berhenti menjalankan tugas sebagai menteri,” katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.

Katanya, adalah menjadi tugasnya sebagai seorang menteri untuk sentiasa cuba meningkatkan perkhidmatan perkara-perkara di bawah kementeriannya. – Malaysiakini