Presiden Termiskin Didunia, Derma 80% Gaji Bulanan Kepada Kebajikan. Mahu Tentang Rasuah Habis-Habisan.

0
138

Bekas Presiden Uruguay, José Mujica telah digelarkan sebagai ‘presiden termiskin di dunia’ gara-gara sifat pemurahnya yang dimilikinya selain mengamalkan gaya hidup yang sederhana.

Dikatakan José sanggup menderma sebahagian besar gaji yang diperolehinya sebagai presiden negara kepada pusat kebajikan dan hanya meninggalkan sejumlah wang yang sedikit, sekadar cukup-cukup untuk beliau menampung kehidupan.

Semasa José memegang tampuk pemerintahan Uruguay bagi tempoh 2010 hingga 2015, beliau telah mendermakan 80% daripada gaji bulanannya sebanyak RM49,200 kepada pusat-pusat kebajikan sekali gus menjadikan José sebagai ahli politik yang paling miskin di dunia.

Bukan sahaja itu, José juga tidak menetap di kediaman rasmi presiden. Sebaliknya, beliau tinggal di sebuah ladang bunga bersama isteri tercinta dan hanya memandu kereta Volkswagon Beetle 1987.

Selepas tidak lagi menjadi presiden, José terus memberikan sumbangan kepada negaranya dengan berkhidmat sebagai Senator. José bagaimanapun meletakkan jawatan sebagai Senator pada 14 Ogos yang lalu walaupun tempoh pelantikan beliau adalah sehingga tahun 2020.

Walaupun begitu, José nekad untuk terus berjuang melawan rasuah dalam negara itu meskipun beliau tidak lagi memegang apa-apa portfolio tinggi.

“Ianya sangat meletihkan selepas perjalanan yang panjang,” kata bekas pemimpin negara Uruguay yang berusia 83 tahun itu.

Apa yang lebih menyentuh hati dan membuatkan kita kagum dengan José adalah keengganan beliau untuk menerima wang pencen. Jelas beliau, wang pencen tersebut harus disalurkan kepada individu yang lebih memerlukan.

Berita mengenai keperibadian José ini mula menular di seluruh dunia dan menarik perhatian rakyat Malaysia yang mula membandingkan beliau dengan bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.

“Inilah pemimpin yang rakyat Malaysia mahukan, bukan seseorang yang menyimpan berkotak-kotak wang tunai di rumah,” komen seorang netizen.

SUMBER : Info Tranding

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here