PH Ciplak Idea BN, Kata Najib

0
37

KUALA LUMPUR – Perincian Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilihat tidak mampu merangsang ekonomi negara.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata negara memerlukan program yang boleh merancakkan ekonomi negara

Malah kata Najib, ada ideanya yang telah diciplak kerajaan PH.

“Pada peringkat permulaan saya lihat pembentangan Belanjawan 2019 ini seperti ceramah politik. Apabila saya melihat isi kandungannya tidak ada perkara-perkara besar yang boleh merangsang ekonomi Malaysia.

“Ekonomi dunia semakin lemah dan meruncing, jadi alam keadaan ini kita perlu melaksanakan beberapa program yang boleh merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Malaysia. Saya bimbang tahun hadapan, ekonomi Malaysia akan menjadi lebih lemah,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan selesai di Dewan Rakyat, hari ini.

Menyentuh soal cadangan kerajaan berkaitan pembekuan kenaikan tol pemansuhan tol bagi motosikal, Najib akui pernah menyuarakan idea tersebut ketika menjadi Perdana Menteri.

“Mereka membekukan kenaikan tol di semua lebuh raya dalam bandar dan memansuhkan tol motosikal Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Laluan Kedua.

“Ketika kerajaan BN mencadangkan perkara ini, mereka telah mentertawakan cadangan itu. Mereka kata kalau mereka menang, mereka akan mansuhkan tol semua sekali.

“Jadi apa yang disebut dalam Belanjawan 2019 ini mengulangi, ciplak apa yang telah dibuat kerajaan BN,” katanya.

Katanya, belanjawan PH itu kurang memberi perhatian dalam kesejahteraan rakyat.

“Bidang kesejahteraan rakyat amat berkurangan, jauh daripada apa yang telah dan akan dilaksanakan oleh BN.

“Umpamanya pemberian BR1M jumlahnya telah dikurangkan daripada 7 juta isi rumah kepada 4.1 juta dan kadar bayarannya pun yang kita telah janjikan RM2000 hanya tinggal RM750 sahaja,” katanya.

Meskipun kerajaan mengumumkan subsidi bagi kenderaan kecil namun menurut Najib ia tidak memadai.

“Janji-janji PRU14 tidak ditunaikan sebaliknya mereka mungkir janjj. Umpamanya mereka laungkan ‘kalau hari ini menang, esok harga minyak akan turun RM1.50’ sebaliknya harga RON akan diapungkan.

“Ini bertentangan sama sekali dengan janji pilihan raya mereka walaupun ada sedikit subsidi kepada kereta-kereta kecil tapi ia tidak memadai dengan apa yang mereka janji kepada rakyat,” katanya.

SUMBER : Sinar Harian