Pertama Kali PAS Puji Kejujuran Tun M. Sungguh Luar Biasa. Ini Sebabnya

0
189

Gagal Tunai Manifesto: Pas Puji Kejujuran Tun M

KUALA LUMPUR – Pas memuji pengakuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa PH hanya berjaya menunaikan 21 daripada 60 janji manifestonya dalam tempoh 100 hari.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia satu permulaan baik kepada politik baru yang bersifat lebih jujur dan rendah diri dalam menghadapi kegagalan dan kelemahan sendiri.

Katanya, ia berbeza dengan sikap kerajaan terdahulu yang mengamalkan sikap suka menegakkan benang basah.

“Meskipun di dalam konteks pelaksanaan 100 hari, PH hanya sekadar mampu menunaikan tiga daripada 10 janjinya kepada rakyat. Pas percaya jika PH ikhlas dan tekad untuk menunaikan janjinya, semua janji akan dapat dilaksanakan meskipun ada perkara di dalam manifesto PH yang Pas tetap tidak bersetuju.

“Pas tidak pernah mengharapkan PH gagal menunaikan janji-janjinya kerana kegagalan itu hanya membawa kesengsaraan kepada rakyat dan juga negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, PH memerlukan pembangkang yang kuat bagi memastikan mereka tidak leka daripada menunaikan janji kepada rakyat.

“Sebagai pembangkang, Pas perlu memainkan peranannya sebagai semak dan imbang kepada kerajaan. Menyokong apabila agendanya baik kepada rakyat dan Islam, membantah jika ia tidak baik dan memberikan kritikan supaya ia dapat berubah sebelum terlambat.

“Diharap demokrasi negara akan menjadi matang sekiranya semua parti politik dapat saling menasihati dan mengkritik. Bukan untuk menjahanamkan pihak lain tapi demi membawa yang terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya.

Menurut beliau, di kempen PRK Seri Setia dan Balakong, Pas akan berkempen untuk menarik rakyat bagi menguatkan barisan pembangkang di Selangor demi kesuburan demokrasi dan menambah suara semak dan imbang di Dun Selangor.

“Oleh itu, kekalahan PH di dua PRK bakal menjadi pemangkin kepadanya untuk berusaha melaksanakan manifestonya tanpa leka, dan yang untung pada akhirnya ialah rakyat Malaysia dan negara.

“Kepada pengundi Seri Setia dan Balakong, berilah undi untuk menguatkan pembangkang di PRK Seri Setia dan Balakong. Insya- ALLAH seluruh rakyat akan mendapat manfaat daripada keputusan itu,” katanya

KJ Ucap Tahniah Kepada PH

Tahniahlah kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana rakyat tak kisah mereka tunaikan janji atau tidak.”

Demikian reaksi Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, diminta mengulas sempena genap 100 hari Malaysia di bawah pemerintahan PH setelah kerajaan BN tumbang pada PRU lepas.

Khairy dalam reaksi itu menjelaskan, beliau melihat senario itu dalam kalangan rakyat yang disifatkan tidak menghiraukan tentang janji 100 hari dibuat PH asalkan kerajaan BN dapat disingkirkan.

“100 hari tak penting kerana rakyat Malaysia tidak kisah sama ada PH tunaikan janji atau tidak. Mereka kata mereka tak kisah PH dapatkan tunaikan janji sebab dulu mereka nak buang Najib dan BN sahaja.

“Bagi saya janji ni tak penting, mereka laksanan atau tidak, tidak penting..sebab rakyat malaysia tidak kisah pasal janji. Cuma sebagai pembangkang, kita akan ingatkan PH supaya tunaikan janji,”katanya ditemui media sempena Pelancaran Buah Tangan Store KL City Walk, di sini.

Diminta mengulas tentang prestasi BN sebagai pembangkang, KJ berkata, BN sekadar lulus tanpa cemerlang.

“BN Di Parlimen boleh tahan. tidak cemerlang, tidak gagal, tidak mengecewakan tetapi boleh tahanlah. Lulus tanpa cemerlang. kita masih ada lagi banyak ruang untuk memperbaiki dari segi hujah dan kemahiran sebagai pembangkang,” katanya.

Sumber: Sinar Harian