Pemilihan PKR: Setiausaha Politik Menteri Salah Guna Kuasa

0
92

PUTRAJAYA – Seorang setiausaha politik kepada seorang menteri didakwa salahguna kuasa dengan menawarkan kontrak pembangunan RM20,000 kepada setiap pemimpin setempat yang hadir dalam mesyuarat sebuah kementerian pada awal bulan ini.

Dalam mesyuarat yang diadakan di sebuah lokasi di Pahang pada 1 September lalu, setiausaha politik itu juga memaklumkan bahawa beliau bakal mendapat peruntukan RM300,000 daripada kementerian lain.

Setiap pemimpin yang hadir diminta membuat permohonan untuk mendapatkan kontrak tersebut kerana kementerian berkenaan didakwa perlu menghabiskan dana itu sebelum hujung tahun ini.

Individu tersebut turut memaklumkan beliau bakal mendapat peruntukan daripada satu lagi kementerian untuk diagihkan kepada pemimpin setempat.

Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, tawaran tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan pemilihan PKR yang sedang berlangsung.

“Ini kerana individu tersebut merupakan salah seorang calon bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat selain turut bertanding bagi jawatan ketua cabang di kawasannya.

“Oleh itu saya percaya beliau menyalah gunakan kedudukannya sebagai pegawai awam dalam menawarkan habuan berbentuk projek bagi meraih sokongan pemimpin setempat” katanya.

Ahmad Syukri berkata, beliau menera sebuah pendrive daripada seorang individu yang mengandungi maklumat tersebut.

“Melalui bukti gambar mesyuarat dan rakaman audio berdurasi 20 minit, saya percaya setiausaha politik merupakan individu utama mengendalikan mesyuarat tersebut,” katanya.

Ketika ditanya dari kementerian mana individu berkenaan, Ahmad Syukri enggan mengulas lanjut.

“Beliau bukan di kalangan AMK,” katanya.

Sehubungan itu, satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat agar siasatan sewajarnya dapat dijalankan.

“Saya juga bersedia untuk dipanggil SPRM sekiranya memerlukan maklumat lebih lanjut,” katanya ketika ditemui di luar bangunan suruhanjaya itu hari ini.

Ahad lalu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan wujud calon pemilihan parti itu menawarkan projek kepada ahli semata-mata untuk meraih undi.

Anwar memberi amaran tidak akan berkompromi dengan perbuatan kotor pihak berkenaan dan bersedia menyingkirkan mereka daripada parti.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengalu-alukan laporan mengenai wujudnya tawaran projek bagi mendapat sokongan ahli dalam pemilihan PKR.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, pihaknya memerlukan maklumat lanjut berkaitan isu berkenaan supaya tindakan selanjutnya dapat diambil.

SUMBER : Sinar Harian