Padah Guna Ayat Al-Quran,28 Kedai Mamak CELUP Didenda Sehingga RM1 Juta

0
56

KUALA LUMPUR: Sebanyak 28 restoran didenda sehingga RM1 juta masing-masing kerana menyalahgunakan ayat al-Quran untuk memberi tanggapan premis mereka berstatus halal, kata Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman.

Katanya, tindakan itu diambil bulan lalu, di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Dalam tempoh 11 Januari hingga 31 Januari lalu, sebanyak 1,975 premis telah diperiksa dan 28 daripadanya disyaki mempunyai elemen menyalahgunakan ayat al-Quran bagi menggambarkan premis seolah-olah halal.

“Jadi, restoran-restoran itu didenda sehingga RM1 juta, tetapi nasihat saya kepada pengguna, jika restoran itu popular, tetapi tidak ada sebarang tanda halal, jangan masuk,” katanya dalam program bual bicara MyHalal di RTM, hari ini.

Isu restoran mamak palsu terbongkar, susulan operasi KPDNHEP sejak bulan lalu untuk mengesan tindakan pengusaha menggunakan kalimah menyerupai ayat al-Quran dan gambar masjid bagi menarik pelanggan ke premis mereka yang tidak memiliki sijil halal.

Penolong Pengarah Kanan Majlis Halal Malaysia, Mohd Amri Abdullah menggalakkan restoran bukan Islam yang mematuhi syarat ditetapkan untuk memohon sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Halal bukan hak mutlak orang Islam, tetapi untuk semua, selagi mana ia mematuhi konsep halalan toyyiban, termasuklah prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Halal Malaysia.”

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Ayoob Khan Ayub Khan Muhamad Yakub berkata, cadangan untuk pengusaha restoran mamak mengambil 100% pekerja Islam tidak boleh dilakukan secara mendadak.

“Kami cuba sedaya upaya bawa 100% orang Islam sebagai pekerja restoran, tetapi bukan mudah. Tenaga kerja dalam kalangan orang Malaysia kurang dalam bidang perkhidmatan makanan.

“Kami sanggup bayar gaji tinggi untuk pekerja tempatan, tetapi tiada siapa yang mahu, sebab itu terpaksa ambil orang luar.”

Sumber: Freemalaysiatoday.com

‘Restoran mamak tolonglah jaga kebersihan’

EMPAT restoran nasi kandar terkenal di Georgetown antara yang dikenakan kompaun kerana pelbagai kesalahan menerusi operasi penguatkuasaan bersepadu.

Operasi yang turut dijalankan serentak di empat lagi lokasi itu mengeluarkan 11 kompaun terhadap premis berkenaan membabitkan jumlah sebanyak RM3,500 .

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Mubarak Junus berkata, sebanyak empat kompaun dikeluarkan membabitkan kesalahan tidak menyediakan tong sampah yang setiap satunya berjumlah RM500.

Katanya, manakala lain-lain kesalahan ialah berhubung pengasingan sisa, kebersihan, halangan di dalam longkang serta meletakkan sisa binaan di atas longkang.Katanya lagi, pemeriksaan di premis sekitar Lebuh Chulia dan Lebuh King itu mendapati longkang di beberapa premis kotor dan tersumbat berikutan sisa makanan yang dibuang tanpa menggunakan penapisan sisa serta perangkap gris.

“Sisa makanan dan air limbahan yang disalirkan ke dalam parit adalah punca ia tersumbat selain boleh menyebabkan pencemaran parit dan sungai.

“Dua daripada premis yang diperiksa didapati melakukan kesalahan berulang dan kita akan melakukan pemantauan secara berterusan,” katanya ketika ditemui, hari ini.Empat lokasi terbabit dengan pemeriksaan berkenaan ialah di Bayan Baru, Batu Maung, Datuk Keramat dan Pulau Tikus.

Operasi yang diatur secara berjadual setiap minggu itu turut membabitkan operasi penguatkuasaan pengasingan sisa di punca, pengurusan kebersihan makanan, pembuangan sampah haram dan antilitter di kawasan tumpuan pelancongan.

Menurut Mubarak, sepanjang tahun ini, MBPP sudah mengeluarkan sebanyak 587 kompaun terhadap pelbagai premis di bandaraya ini berikutan beberapa kesalahan berhubung kebersihan.Antara kesalahan yang dilakukan ialah membuang sampah dan meletakkan bekas makanan di tempat awam dan membuang kekotoran di parit awam.

“Mereka juga dikesan tidak menyediakan tong sampah dan perangkap gris serta tidak menyediakan kemudahan pengasingan sisa kitar semula,” katanya lagi.

Sementara itu, pengunjung, Norsiah Abdul Manaf, 40, kesal dengan tindakan pengendali makanan di premis berkenaan yang masih tidak prihatin dengan kebersihan longkang.

Katanya jika dibiarkan, ia akan mengundang lipas dan tikus selain mendatangkan bau kurang menyenangkan serta mencemarkan nama Pulau Pinang yang terkenal dengan keenakan nasi kandar.

“Seringkali tular di laman sosial mengenai keenakan makanan sesebuah kedai namun selepas diperiksa, rupa-rupanya cara pengendalian mereka tidak bersih dan itulah yang pelanggan kesalkan.

“Kebanyakan restoran nasi kandar ini sudah ternama, justeru jagalah kebersihan premis masing-masing,” katanya lagi.

Nota : Jika Anda Rasa Artikel Ini Menarik Mohon Kongsikan Kepada Rakan Rakan Anda Di Facebook Dan Jangan Lupa Untuk Like dan Terus Ikut Kami Di Lubok Cerita Express