“Operasi Cari Acap Akan Dihentikan Sementara..” – Zuraida

0
13

Gopeng : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29 yang hilang sejak 23 Mac lepas, akan dihentikan buat sementara, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata keputusan itu dibuat susulan permintaan penduduk yang mahu menjalankan usaha mengesan lelaki tersebut dengan cara mereka sendiri.

Katanya secara prinsip, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak yang terlibat dengan SAR tersebut yang memasuki hari ke-25, dan polis bersetuju dengan permintaan penduduk.

“Ada permintaan penduduk di sini agar kita keluar (sementara) dan berikan mereka ruang, masa (mencari) dua tiga hari kerana ada kes mereka berjaya kesan orang hilang.

“Kita juga akan bincang dengan penduduk mengenai perkara ini kerana mahu memahami bagaimana operasi pencarian nak dijalankan. Bomba juga kena bersedia untuk berikan pertolongan sokongan (jika ada kecemasan),” katanya kepada sumber selepas melawat pos kawalan operasi SAR di Kampung Pintu Padang di sini, hari ini.

Pada lawatan tersebut, Zuraida mendengar taklimat operasi daripada Pengarah JBPM Perak Azmi Osman selama kira-kira 30 minit selain turut meluangkan masa bertemu keluarga Mohammad Ashraf yang lebih dikenali sebagai Acap.

Menjelas lanjut, Zuraida berkata sejak operasi dijalankan hingga kini, seramai 200 anggota bomba telah digerakkan termasuk Unit Anjing Pengesan (K9).

“Selain itu, seramai 1,000 orang daripada agensi-agensi lain turut terlibat mencari Acap. Penduduk tempatan yang tahu kawasan ini juga membantu, begitu juga dengan alim ulama,” katanya.

Sementara itu,  Siti Maznah Khamis, 62, menyifatkan kehilangan anaknya sebagai ujian dan dugaan buat mereka sekeluarga.

Sambil menyifatkan sukarelawan yang mencari anaknya sebagai ‘wira tidak didendang’, Siti Maznah menzahirkan terima kasih kepada mereka kerana tidak pernah berputus asa.

“Kami terima dengan besar hati (bantuan), di mana noktahnya ini hanya Allah sahaja yang tahu. Kita akan terus berdoa,” katanya.

SUMBER : Bernama

Nota : Jika Anda Rasa Artikel Ini Menarik Mohon Kongsikan Kepada Rakan Rakan Anda Di Facebook Dan Jangan Lupa Untuk Like dan Terus Ikut Kami Di Lubok Cerita Express