Nak Masuk Kencing Pun Tak Boleh. Ellie Suriaty Dan Adam Lokman Kesal

0
339

KUALA LUMPUR: Penyokong Datuk Seri Najib Razak menyuarakan rasa tidak puas hati apabila mereka tidak dibenarkan memasuki perkarangan bangunan mahkamah Jalan Duta hari ini untuk mengikuti pendakwaan terhadap bekas perdana menteri itu, termasuk untuk membuang air kecil.

Datuk Lokman Noor Adam berkata kawalan ketat hari ini membuktikan wajah sebenar pemerintahan kuku besi Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kerajaan kuku besi Tun Mahathir buat kejutan, di mana hari ini perkarangan mahkamah jadi kawasan larangan untuk penyokong Datuk Seri Najib.

“Ini membuktikan kerajaan Pakatan Harapan semakin tergugat lakukan perkara tak masuk akal ini. Tidak benar rakyat biasa masuk mahkamah, ini kawasan awam, kami lihat hari ini mereka buat sekatan tidak benarkan masuk dari pintu pagar lagi.

“Kami nak masuk kencing pun tak boleh,” kata Lokman.

Lokman yang juga presiden Pemantau Malaysia Baru berkata pihaknya akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) susulan halangan pihak berkuasa hari ini.

“Kami akan kemukakan kepada Suhakam kerana ia bertentangan dengan hak asasi manusia,” katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan tinjuan FMT, ketibaan Najib disambut hambar oleh penyokongnya iaitu kurang 30 orang, berbeza dengan jumlah kehadiran pada pendakwaan 4 Julai lalu.

Selain Lokman, antara individu yang hadir ialah selebriti, Ellie Suriaty Omar dan Presiden Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia Datuk Rafi Awang Kechik.

Lokman berkata kehadiran penyokong kurang disebabkan kelewatan pihaknya menerima maklumat lokasi Najib akan didakwa hari ini.

“Malam tadi baru kami tahu, jadi memang tak sempat nak buat panggilan, yang jauh itu mereka ada kekangan masa untuk datang dan susah nak buat permohonan cuti saat akhir,” katanya.

Tinjauan turut mendapati tidak ada pemimpin tertinggi Umno yang hadir sepertimana 4 Julai lalu yang dihadiri Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Noraini Ahmad, Tan Sri Noh Omar, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Ashraf Wajdi sertai pimpinan sayap umno.

Penyokong Najib, Abdul Rahman berkata kebanyakan pemimpin Umno berada di Parlimen.

Sementara seorang lagi penyokong dikenali sabagai Daniel Goh berkata semasa kali pertama Najib didakwa 4 Julai lalu, tidak ada sebarang kejadian luar kawalan berlaku.

Katanya, polis sepatutnya membenarkan mereka memasuki perkarangan kompleks mahkamah hari ini.

“Kami bukan nak ganggu peguam negara,” kata Goh merujuk kumpulan penyokong yang memarahi Peguam Negara Tommy Thomas sejurus sebelum dia mengadakan sidang media di lobi mahkamah.

Terdahulu, Najib tiba di Mahkamah Jalan Duta atas pendakwaan baharu berhubung kes SRC International.

Ahli parlimen Pekan itu akan didakwa di mahkamah hari ini atas pertuduhan membabitkan dana SRC mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfa). Beliau juga dijangka berdepan 3 lagi pertuduhan pengubahan wang haram.

SUMBER : Buletin Netizen

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here