Najib Persoal Mana Pendrive Didakwa Mengandungi Bukti Berkait Kes Kevin Morais ?

0
74

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini tertanya-tanya di mana pendrive yang selama ini didakwa Charles Morais iaitu adik kepada Kevin Morais mengandungi bukti kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mahupun SRC International.

Najib berkata, tiga tahun lalu, Charles tiba-tiba muncul di Malaysia setelah bertahun-tahun tinggal di Amerika Syarikat.

Menurutnya, dengan sokongan pemimpin Pakatan, Charles mengadakan sidang media dan menyatakan bahawa beliau telah membuat Surat Akuan Sumpah dan mendakwa ada padanya satu pendrive kononnya diterima dari Kevin dan mengandungi bukti-bukti kes 1MDB/SRC serta bukti mengapa Kevin dibunuh.

“Selepas membuat sidang media tergempar ini, Charles terus menghilangkan diri dan keluar dari Malaysia. Sama seperti kes pembunuhan Hussain Najadi, Lim Kit Siang antara orang pertama yang cuba mengaitkan saya dengan pembunuhan Kevin Morais.

“Selepas itu, Kit Siang turut membuat kenyataan media yang bertajuk “Call for an international investigation into the murder of DPP Kevin Morais following the shock statutory declaration by his brother Charles who raised many disturbing questions” di mana Kit Siang mendakwa bahawa pembunuhan Kevin Morais ada kaitan dengan 1MDB/SRC,” katanya dalam perkongsiannya di laman sosial Facebook peribadinya, hari ini.

Najib berkata, selepas Kit Siang berbuat demikian maka tentera dan jentera propaganda DAP pun bergerak bagi mengaitkan pembunuhan kejam Kevin dengan dirinya.

“Persoalannya kini ialah di mana pendrive itu? Selepas tiga tahun ia masih tidak ditemui.
“Jika menggunakan WhatsApp atau Google Drive, tak sampai 30 minit untuk kandungan pendrive ini tiba di Malaysia,” katanya.

Najib turut tertanya-tanya siapakah yang mendorong Charles untuk mengupah peguam dan membuat sidang akhbarnya pada masa itu?

“Kit Siang dan DAP juga antara yang paling pantas untuk mengaitkan pembunuhan Teoh Beng Hock kepada BN dan saya,” katanya.

“Tetapi sampai hari ini, saya tidak tahu apa keuntungan untuk kerajaan BN ataupun saya jika saksi yang mungkin mempunyai bukti terhadap rasuah pemimpin DAP dibunuh?

Najib berkata, beliau menulis kesemua ini kerana berharap rakyat Malaysia akan berfikir dengan lebih mendalam lagi dan tidak mudah dipengaruhi aturan propaganda terancang pihak-pihak tertentu.

“Pagi ini, Kit Siang mengeluarkan kenyataan lagi untuk membalas saya. Dia pusing-pusing ke seluruh dunia termasuk ke WSJ, Japan, South Korea, Singapore and Taiwan dan ke Amerika Syarikat tetapi tidak lagi berani untuk menuruskan panggilan beliau hari itu untuk kerajaan PH melaksanakan siasatan khas untuk kes-kes pembunuhan ini.

“Ini soal keadlian untuk nyawa 4 orang, YB Kit Siang. Jangan main-main dan pusing-pusing lagi,” tegasnya.

SUMBER : Sinar Harian

Loading...