Mujahid Sahkan Kes Edar Bible Kepada Pelajar Sekolah di Pulau Pinang

0
43

KEPALA  BATAS 6 Nov. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof mengakui berlaku kegiatan mengedar kitab Bible kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam di sini, seperti yang tular baru-baru ini.

Mujahid berkata, sejurus perkara berkenaan tersebar, beliau telah mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP); Jabatan Pendidikan negeri serta Ahli Parlimen Bukit Mertajam untuk kesahihan.

Kata beliau, pihak yang berbuat demikian dipercayai wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) namun tidak mewakili gereja atau persatuan agama Kristian di kawasan berkenaan.

“Saya nasihat supaya jangan menimbulkan masalah kerana kena hormat Perlembagaan Persekutuan, kita juga siasat sama ada Bible itu diedarkan kepada umat Islam atau tidak.

“Mereka perlu faham Artikel 11 (4) yang mana agama lain bebas diamalkan tetapi tidak boleh didakwah kepada orang Islam,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Ditanya sama ada pihak berkuasa agama telah membuat laporan polis berhubung kes itu, Mujahid berkata, perkara itu tidak dilakukan.

“Apa yang saya tahu, ia berada dalam pengetahuan pihak polis,” katanya.

SUMBER : Utusan Online