Mufti PP Pertahan Kenyataan Mujahid

0
169

GEORGETOWN: Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mempertahankan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa bahawa penguatkuasa tidak seharusnya mencampuri urusan peribadi seseorang untuk berkhalwat.

Beliau berkata, Mujahid mungkin berpendapat bahawa sesiapa yang melakukan zina atau khalwat tidak seharusnya diaibkan dengan tindakan penguatkuasaan.

“Malah dalam Islam kita dilarang untuk membuka aib kepada masyarakat. Ini kerana mereka yang melakukannya cuba untuk tidak mendedahkannya.

“Manusia tidak boleh lari daripada melakukan dosa dan ada di antara mereka yang terpaksa melakukannya dan ia dilakukan dalam keadaan tersembunyi. Mungkin itu yang dimaksudkan Mujahid berkenaan tindakan penguatkuasaan,” katanya kepada NSTP ketika dihubungi.

Mujahid yang juga menteri yang bertanggungjawab dalam urusan agama Islam dalam satu temuramah berkata, dia akan menasihati pegawai penguatkuasa untuk tidak mencampuri ruang peribadi seseorang selepas ia pernah beberapa kali dieksploitasi dan disalahguna.

Beliau berkata, selepas ini pengawai penguatkuasa tidak akan lagi mengambil tindakan mengetuk atau memecah masuk pintu bilik atau rumah sekiranya memperoleh laporan berkenaan aktiviti menyalahi agama termasuk khalwat.

Katanya, urusan yang dilakukan seorang Muslim di sebalik pintu yang tertutup adalah bukan urusan kerajaan.

Mengulas lanjut , Wan Salim berkata, pernah ada sejarah ketika zaman Nabi Muhammad di mana ada sahabatnya datang mengaku kepadanya bahawa dia telah berzina.

Namun Rasul cuba untuk tidak melayan pengakuan itu dengan mengelak setiap kali dia cuba mengaku.

“Seseorang tidak seharusnya memalukan dirinya dengan mengaku melakukan dosa dan orang lain juga tidak perlu menghebahkannya sekiranya mengetahuinya.

“Sebaliknya sebagai seorang Muslim kita sepatutnya membantu individu itu kembali ke landasan yang betul,” katanya.

Ketika ditanya pendapatnya untuk membanteras zina, beliau berkata semua pihak harus bekerjasama untuk memberi didikan kepada remaja tentang bahaya terlibat dengannya selain aktiviti haram lain.

Beliau juga mencadangkan penguatkuasa jabatan agama untuk memberi amaran kepada pengusaha hotel untuk tidak membenarkan pasangan yang mana status perkahwinan mereka meragukan menginap bersama.

“Pencegahan lebih baik daripada mengubati, kita perlu mengambil langkah pencegahan proaktif dalam usaha mencegah isu zina dan khalwat di kalangan umat Islam di negara ini,” katanya.

SUMBER : Berita Harian

Loading...