Kopi Viral Dicampurkan Serbuk Bateri Terpakai Serta Abu Batu-Bata

0
137

DAK NONG: Syarikat pengeluar kopi di wilayah Dak Nong, Vietnam diserbu pihak berkuasa susulan didakwa menghasilkan serbuk kopi daripada bahan berbahaya seperti bateri terpakai, sampah sarap dan abu batu-bata.

Portal berita Tuoi Tre melaporkan polis dan jabatan keselamatan makanan melakukan serbuan ke kilang pemprosesan kopi terbabit awal minggu ini selepas menerima laporan daripada penduduk setempat.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah 35 kg serbuk hitam yang dipercayai daripada bateri terpakai, selain cecair hitam seberat 10 kg. Pemilik memberitahu kesemua material itu dicampur dengan biji kopi yang tidak digunakan kilang-kilang besar untuk diproses bersama dan dikeluarkan sebagai satu jenama kopi. Jenama itu bagaimanapun tidak didedahkan.

Pemilik perusahaan itu, Nguyen Thi Loan, apabila diosoal siasat oleh polis, mengaku bahawa dia membeli kulit dan bijian kopi dari tempat lain pada harga diskaun. Kilangnya akan mencampurkan bahan itu dengan material lain seperti abu batu dan tanah, sebelum mewarnakan produk itu dengan warha hitam yang diperoleh daripada kandungan dalam bateri.

Kilang yang dimiliki sekeluarga itu telah beroperasi bertahun lamanya, dan tahun ini sahaja, ia telah berjaya menjual lebih 3 tan kopi.

Seorang profesor di Vietnam National University memaklumkan bahan hitam yang didapati daripada bateri itu adalah bahan kimia toksik yang dipanggil mangan dioksida.

Mangan dioksida adalah sebatian oksidan, dan sejumlah 0.5 miligram yang dicampur dalam satu liter air sudah cukup untuk menyebabkan keracunan pada manusia.

Keracunan akan menyebabkan halusinasi sebelum merosakkan organ seperti otak dan buah pinggang dan seterusnya membawa kepada kematian.