Khairy akui Program BTN, PLKN ada unsur Indoktrinasi. Ini sebab kenapa K’jaan PH mansuhkan serta merta!

0
166

Khairy Akui Program BTN Ada Unsur Indoktrinasi

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini mengakui program Biro Tatanegara (BTN) yang diperkenalkan kerajaan terdahulu mempunyai unsur indoktrinasi politik.

Anggota Parlimen Rembau itu turut berkata Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 1.0 juga mempunyai unsur itu namun ia tidak begitu ketara.

“Menurut saya PLKN 2.0 tidak (tiada indoktrinasi) kerana ia lebih kepada program kenegaraan, saya terlibat sama bersama Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Bekas Menteri Pertahanan) dalam merangka program itu, kita tekankan aspek kemahiran. (Tetapi) BTN memanglah (ada),” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kerajaan bersetuju untuk memansuhkan PLKN dan BTN berkuatkuasa segera.

Menurut Syed Saddiq keputusan itu telah dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu setelah mendapati PLKN dan BTN telah disalah guna bagi tujuan indoktrinasi fahaman tertentu.

Jelasnya, kedua-dua program berkenaan akan digantikan dengan program baharu yang akan memberi fokus dalam membentuk belia yang berwawasan.

Apa salah PLKN, BTN?

KUALA LUMPUR – Pas mempertikaikan keputusan PH mengubah sistem kerajaan terdahulu tanpa melihat implikasi kepada kos.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Kubang Kerian) berkata kerajaan baharu sepatutnya menguruskan sistem atau dasar yang ada dengan lebih baik.

“Setiap kali kita tukar sistem, perlu melihat daripada kerangka yang menyeluruh. Kita tahu kegagalan (sistem lama) kerana kelemahan dalam urus tadbir atau diseleweng, salah guna jadi kita harapkan kerajaan PH ini betulkan apa yang tak betul itu.

Apa salah PLKN? Apa masalah BTN? Kalau kata mereka disalahgunakan, kerajaan baharu ini janganlah salahguna.

“Betulkan polisi, dasar supaya kita dapat betulkan kembali tapi bukan dengan menukar atau menamatkan. Implikasinya amat besar, ia melibatkan kakitangan dan kos-kos yang berlaku di kem-kem tersebut,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan  Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018, hari ini.

Pagi tadi, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika bacaan RUU kali kedua berkata Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) dimansuhkan di mana penstrukturan semula fungsi, perjawatan, peruntukan kewangan serta aset akan dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas memberitahu kos pelaksanaan keseluruhan GST pada tahun 2015 ialah RM376 juta dan pertukaran kembali kepada SST mencecah kos sebanyak RM4.5 juta.

Selain itu, beliau turut menyentuh soal percanggahan kenyataam antara menteri melibatkan beberapa perkara yang sering berlaku sejak kebelakangan ini.

“Dalam Parlimen kerajaan kata tangguh PLKN dan BTN tapi kenyataan media hari ini kata dibubarkan. Mana satu sebenarnya? Kadang-kadang ada yang bercanggah antara jawapan menteri dengan menteri lain.

“Sebagai contoh, menteri kata elaun sara diri hidup kepada nelayan diteruskan tepai perdana menteri kata akan dibatalkan. Jadi mana satu yang betul? Banyak kali berlaku percanggahan,” katanya.

SUMBER : Express Viral