Ketua Polis Negara Jelaskan Kenapa Polis Tidak Gunakan Meriam Air Untuk Suraikan Perusuh

0
456

Polis tidak menggunakan meriam air bagi menyuraikan perusuh di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya awal pagi tadi kerana mahu memburukkan keadaan, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata, faktor kedudukan perusuh yang dekat dengan rumah ibadat itu juga diambil kira.

“Takkan kita nak gunakan meriam air di tempat ibadat? Logikkah buat macam itu?” soalnya.

“Jika kita buat sedemikan, kita akan lagi diserang. Kita mesti bertindak mengikut kesesuaian,” katanya kepada pemberita selepas melawat anggota bomba yang cedera parah, Muhammad Adib Mohd Kassim, di hospital di Subang Jaya.

Menjawab soalan mengapa polis tidak menghalang perusuh yang membuat kerosakan dan serangan, Fuzi berkata ia tidak semudah seperti yang diperkatakan.

“Anda cakap senang. Tak semudah itu (untuk polis) sebab (ia berlaku) di rumah ibadat.

“Kalau kita serang kita akan disalahkan. Kita bagi bantuan pun akan disalahkan,” katanya lagi.

Sejumlah saksi dan wartawan Malaysiakini tidak melihat cubaan daripada polis untuk menyuraikan perusuh awal pagi tadi.

Ketika diminta menjelaskan lagi pendekatan polis dalam menangani kejadian itu, Fuzi berkata anggota polis sentiasa bergerak di lokasi.

“Seperti di ‘One City’ (pejabat MCT Bhd yang diserang), ia agak jauh dari kuil, kira-kira satu kilometer.

“Takkan anda jangka kita jaga 100 peratus kawasan itu. Kecuali jika ada maklumat khusus, baru kita buat serbuan.”

Ketika dibangkitkan bagaimana perusuh berarak dari kuil yang dikawal polis tetapi polis tidak bertindak, Fuzi mengalihkan sasarannya kepada pemberita.

“Cara anda tanya saya macam mahu salahkan kita (polis). Anda perlu faham kita ada prosedur tugas dan sebagainya,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi tadi, perusuh bersurai sendiri pada kira-kira tiga pagi ketika hujan mula turun. Pagi ini, polis membuat dua tangkapan berkaitan insiden itu.

SUMBER : Malaysia Kini