Kerajaan BN belanja berlebihan Januari-April

0
113

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan mendedahkan Akaun Hasil Disatukan yang merosot kepada RM450 juta berbanding RM11.86 bilion pada 31 Disember 2017 lalu, adalah berikutan perbelanjaan berlebihan untuk tempoh antara Januari dan April lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata jelas ia adalah “perbelanjaan pilihan raya umum” yang digunakan untuk cuba membantu Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Datuk Seri Najib Razak masih enggan menjelaskan sebab hanya ada RM450 juta dalam Akaun Hasil Disatukan yang ditinggalkan kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 30 April 2018, iaitu penyusutan sebanyak 96 peratus atau RM11.41 bilion, berbanding dengan RM11.86 bilion pada 31 Disember 2017.

“Beliau juga nampaknya menghadapi kesukaran untuk membezakan antara Akaun Hasil Disatukan dan Kumpulan Wang Disatukan apabila mendakwa bahawa pada 31 Disember 2017, Kerajaan Persekutuan mempunyai RM18.06 bilion untuk dibelanjakan dan bukan sebanyak RM11.86 bilion seperti yang didedahkan oleh saya.

“Najib juga salah anggap bahawa jumlah di dalam Kumpulan Wang Disatukan boleh digunakan. Ketara sekali, beliau gagal dalam ujian perakaunan kerana keliru dengan perbezaan Kumpulan Wang Disatukan dan Akaun Hasil Disatukan.

“Mengikut undang-undang, kerajaan cuma boleh menggunakan Akaun Hasil Disatukan untuk perbelanjaan pengurusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Guan Eng berkata Najib harus menjelaskan mengapa terdapat penyusutan sebanyak 96 peratus atau RM11.41 bilion dalam Akaun Hasil Disatukan pada 31 Disember 2017 sehingga 30 April 2018, dan hanya meninggalkan RM450 juta kepada kerajaan baharu.

Katanya, Najib juga mendakwa bahawa beliau bukan lagi Menteri Kewangan apabila penyata kewangan bulanan untuk 30 April 2018 yang belum diaudit disediakan.

“Beliau juga mendakwa terkejut apabila mendapati kerajaan BN cuma meninggalkan RM450 juta di dalam Akaun Hasil Disatukan kepada kerajaan baharu. Ini sama sekali tidak benar.

“Beliau tidak sepatutnya berpura-pura mengenai kedudukan fiskal yang sebenar dengan menegaskan bahawa BN sudah meninggalkan puluhan bilion ringgit kepada kerajaan baharu PH tetapi hakikatnya cuma ada RM450 juta sahaja.

“Bayangkan, hanya ada RM450 juta sahaja yang boleh dibelanjakan untuk membayar emolument (gaji) dan pencen sedangkan untuk ini sahaja kerajaan memerlukan lebih RM8 bilion sebulan.

“Atau adakah Najib masih lagi keliru untuk membezakan atau memahami apa sebenarnya kandungan hasil Akaun Disatukan walaupun beliau memegang jawatan Menteri Kewangan selama 10 tahun?” katanya.

Guan Eng berkata, Najib juga tanpa usul periksa, mempersoalkan kesahihan penyata kewangan April 2018 yang belum diaudit dan secara tidak langsung menuduh saya memanipulasi angka-angka berkenaan.

“Sebagai bekas Menteri Kewangan, beliau sepatutnya arif bahawa penyata kewangan bulanan Kerajaan Persekutuan disediakan secara berasingan oleh Jabatan Akauntan Negara.

“Beliau sepatutnya tidak mempersoalkan kredibiliti penyata kewangan bulanan itu. Najib sekali lagi gagal untuk menyedari bahawa Menteri Kewangan masih belum mengangkat sumpah apabila penyata kewangan bulanan untuk 30 April 2018 yang belum diaudit disediakan,” katanya.

Beliau berkata, Najib pasti menganggap rakyat Malaysia mudah terperdaya untuk mempercayai dakwaannya bahawa nilai Ringgit ditentukan oleh harga minyak.

“Bahawa beliau tidak tahu-menahu bahawa kerajaan beliau terdahulu gagal memulangkan semula bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan sebanyak RM35.5 bilion kepada rakyat.

“Bahawa GST adalah sistem pencukaian yang lebih baik dan kurang membebankan berbanding SST dalam aspek kenaikan harga; dan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan berhadapan dengan krisis fiskal dan hutang lebih RM1 trilion.

“PRU-14 yang lalu sudah membuktikan bahawa rakyat tidak sanggup lagi ditipu dengan dakwaan bahawa 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah satu syarikat yang mampan dan bagus untuk negara walaupun kerajaan terpaksa membayar segala hutang 1MDB berjumlah RM50 bilion,” katanya.

SUMBER : Berita Harian

Loading...