Juruterbang Sempat Mohon Kebenaran Patah Balik Sebelum Terputus Hubungan

0
54

Pesawat Lion Air JT610 yang dilaporkan terhempas pagi tadi di Laut Jawa yang melibatkan 188 penumpang dan anak kapal telah cuba meminta kebenaran berpatah balik  ke Jakarta.

Menurut laporan berita, Pejabat Kawalan Trafik Udara telah pun memberi kebenaran kepada juruterbang untuk berbuat demikian namun terputus hubungan selepas 13 minit pesawat itu berlepas.

Jurucakap agensi bencana, Sutopo Purwo Nugroho memuat naik foto di Twitter termasuk satu klip video yang menunjukkan kesan tumpahan minyak yang dipercayai kawasan di mana pesawat itu terhempas

Jurucakap Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS) Yusuf Latif berkata, pihak berkuasa masih berusaha mengesan bangkai pesawat yang terputus hubungan pada jam 6.33 pagi (waktu tempatan) ketika sedang dalam perjalanan ke Pangkal Pinang di kepulauan Bangka.

“Pesawat itu memohon kebenaran untuk pulang ke pangkalan sebelum hilang dari radar,” katanya dalam satu kenyataan.

Laman web Flightradar ketika mengesan perjalanan pesawat dipercayai dari jenis Boeing 737 itu memberitahu ia membuat pusingan ke selatan untuk berlepas dan menuju ke bahagian utara sebelum berakhir mendadak di Laut Jawa.

Indonesia banyak bergantung kepada pengangkutan udara bagi menghubungkan ribuan pulau di negara itu namun rekod sistem keselamatan yang buruk menyebabkan ia sering kali berdepan dengan tragedi sejak beberapa tahun kebelakangan ini

Loading...