Jangan Takut Ratifikasi ICERD, DAP Beritahu PPBM, Umno

0
172

PETALING JAYA: DAP berkata Pemuda PPBM dan Umno seharusnya tidak bimbang dan takut terhadap proses meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata ICERD tidak akan membatalkan hak istimewa orang Melayu atau Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

“Kalau kita baca (ICERD), apa-apa yang telah diterima oleh orang Melayu akan disokong, tidak ada masalah,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai Pemuda PPBM akan menolak proses meratifikasi ICERD sekiranya ia melemahkan atau menghakis fungsi dan kesan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, sistem Raja berperlembagaan, kedudukan Islam, dan mana-mana hak termaktub dalam perlembagaan itu.

Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pendirian sayap PPBM itu berdasarkan persefahaman dan ketetapan bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan dan mensejahterakan Malaysia melalui asas dan dasar sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Charles berkata, dalam mukadimah ICERD jelas menyatakan sekiranya kerajaan mempunyai komitmen seperti menolong orang Melayu, ia tidak mempunyai masalah kerana perkara itu merupakan keseimbangan sosial antara kaum-kaum lain.

“Bila kerajaan menolong Melayu walaupun mereka majoriti, itu diterima sebab ia merupakan satu keseimbangan sosial antara kaum-kaum lain, tidak ada masalah,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar pihak yang terlibat membuat taklimat, meja bulat atau seminar membuat inisiatif sebelum membawa ICERD ini ke Parlimen atau meratifikasinya.

“Kita mesti ada penerimaan daripada rakyat. Saya cadang mana-mana pihak nak bawa ke Parlimen atau Kementerian Luar Negeri harus berbincang dengan pihak berkepentingan,” katanya.

Charles turut mendakwa terdapat sesetengah pihak yang memutarbelitkan isu ICERD agar orang ramai takut dengan PH bahawa mereka menentang orang Melayu dan Islam.

“Sebenarnya ini tidak lebih propaganda daripada apa yang berlaku,” katanya

SUMBER : FMT