Jangan Hukum Bencana Puncanya LGBT – Mujahid

0
80

“KITA jangan terlalu mudah menghukum satu-satu bencana itu termasuk yang berlaku di Palu, Indonesia sebagai bala berkaitan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender),” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Katanya, gejala berkenaan di negara ini masih terkawal hasil pelbagai program pemulihan yang diwujudkan untuk golongan itu.

Katanya lagi, dalam menangani isu berkaitan LGBT, semua pihak mempunyai tanggungjawab menangani.

“Dalam keadaan kita hari ini, isu LGBT walaupun ia satu permasalahan tapi masih di bawah kawalan. Saya tidak rasa kita terlalu mudah menghukum bala itu hanya dengan membuat satu-satu contoh, maka akan tiba satu bala.

“Yang perlu kita buat dan bincang ialah bagaimana menanganinya sebagai tanggungjawab kita menjaga supaya perkara ini tidak berleluasa,” katanya menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH PKR-Setiawangsa) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Nik Nazmi meminta penjelasan dari segi agama tindakan menghukum satu-satu peristiwa sebagai bala tanpa asas agama yang betul.

Mujahid berkata, orang Islam perlu menerima bahawa tidak ada sesuatu bala yang menimpa tanpa izin Allah tetapi menjatuhkan hukum sesuatu bencana akibat perbuatan tertentu tanpa asas adalah tidak wajar.

“Sebagai seorang Islam, sudah tentu kita kena percaya seperti firman Allah tidak ada sesuatu bala yang menimpa tanpa izin Allah dan kepada Allah orang-orang yang beriman bertawakal bahawa semuanya datang daripadanya.

“Kalau kita mengkaji kisah kaum-kaum yang dihancurkan dan mungkin di sini dirujuk kepada kaum Luth. Perbuatan mereka itu terlalu terserlah. Dalam kata lain mereka tidak segan silu melakukannya secara terbuka dan kerana itulah maka diturunkan bala,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi(BN-UMNO Bagan Datuk) dalam soalan tambahannya mengaitkan kejadian gempa bumi dan tsunami di Palu, Indonesia sebagai bala Allah kerana mendakwa ada kira-kira 1,000 golongan LGBT di kawasan berkenaan.

“Kita lihat situasi di Malaysia turut membimbangkan yang mana kita tahu kejadian gempa bumi dan tsunami di Palu baru-baru ini dikhabarkan terdapat lebih kurang 1,000 mereka yang terbabit dalam aktiviti berkenaan (LGBT). Akibatnya seluruh kawasan itu diranapkan. Ini adalah hukuman Allah,” katanya.

Menjawab soalan Ahmad Zahid mengenai keberkesanan Program Mukhayyam yang dijalankan Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) bagi membantu golongan LGBT, Mujahid berkata, peserta program itu ada yang sudah menukar penampilan mereka kepada fitrah asal.

“Ada kelompok dalam LGBT ini masih ada penampilan berbeza dengan fitrah asal sedang berusaha meninggalkan perbuatan songsang mereka dan mengakui kini mereka dapat mengingati semula perkara asas dalam agama seperti ibadat solat.

“Ada satu lagi kumpulan ini mereka sedang mujahadah berusaha meninggalkan perbuatan itu,” katanya.

SUMBER : Harian Metro

Loading...