Jamal Sifatkan Peguam Negara Sekarang Lagi Bagus Dari Peguam Negara Zaman BN

0
194

PUTRAJAYA – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Mohd Yunos hari ini menyatakan sokongan penuh mempertahankan tindakan perundangan oleh Tommy Thomas yang disifatkannya sebagai Peguam Negara yang terbaik setakat ini.

Jamal berkata, Tommy yang dilantik selepas dicadangkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu sangat bermurah hati berbanding peguam negara terdahulu di bawah kerajaan BN yang disifatkan sebagai tegas dan jahat.

Katanya, beliau mempertahankan kedudukan Tommy dan menyokong peguam itu terus menjawat jawatan Peguam Negara untuk 10 tahun akan datang.

“Bagi saya pemilihan peguam negara yang berbahagia Tommy Thomas adalah cukup baik dan tepat oleh kerajaan PH iaitu kepimpinan Dr. Mahathir.

Kalau berbanding peguam negara terdahulu, mereka tegas dan jahat, tetapi Tommy sangat bermurah hati dan baik.

“Maka pihak di luar sana semenjak beberapa hari ini yang marah Tommy kerana menarik balik kes Lim Guan Eng sila janganlah marah dia,” katanya kepada pemberita di pekarangan Jabatan Peguam Negara di sini.

Beliau hadir mengemukakan surat permohonan representasi kepada Tommy untuk mempertimbangkan serta menarik balik segala kes pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau di mahkamah.

Jamal turut menasihati orang ramai supaya tidak marah Tommy sesuka hati sambil mengajak rakyat yang dituduh di negara ini supaya beramai-ramai mengemukakan permohonan rayuan terhadap peguam negara untuk menggugurkan kes ke atas mereka di mahkamah.

“Kalau tak memohon rayuan mana boleh dibebaskan oleh Peguam Negara. Kalau tak mohon memanglah tak dapat termasuklah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga saya minta supaya memohon AG (Peguam Negara) supaya segala pertuduhan ke atasnya ditarik balik.

“Jadi saya mempertahankan tindakan AG kepada yang lain, kerana ia juga menyumbang kepada pengurangan tahanan dalam penjara.

“Ini kerana kalau ramai masuk penjara banyak kos kena tanggung oleh negara pada masa negara dikatakan menghadapi (krisis) kewangan.

“Kalau seorang banduan boleh berjimat sehingga RM20 hingga RM30, bayangkan kalau beribu ribu orang banduan dibebaskan,” ujarnya.

Oleh demikian, beliau menyeru orang ramai berhenti memaki Tommy sambil mempertahankan tindakan Peguam Negara itu.

Katanya, Peguam Negara tahu apa yang dia harus lakukan dalam sesebuah kes

“Saya juga berharap Peguam Negara kita tidak mengambil peduli desakan orang ramai di luar sana yang kecoh mendesak beliau meletakkan jawatan dan meneruskan tugasnya. –

SUMBER : Express Viral