Hubungan Jarak Jauh Ni Bukan Mudah, Hanya Mereka Sahaja Yang Faham!

0
94

Hubungan Jarak Jauh Ni Bukan Mudah, Hanya Mereka Sahaja Yang Faham! Hubungan jarak jauh ni bukan mudah. Hanya orang yang kuat je mampu melalui perjalanan ini. Buat yang sedang melalui hubungan jarak jauh, jangan mudah putus asa, ini tip buat korang ubat rindu.

1. TERUS BERHUBUNG

Biar hanya seketika pastikan anda berdua akan terus berhubung setiap kali sebelum menamatkan hari-hari anda. Skype, Google Talk atau panggilan sekadar lima minit pun memadai mahupun hanya ucapan selamat malam. Ini bukti cinta anda masih utuh buatnya.

Namun usah lakukan kerana terpaksa dan pastikan anda sentiasa ada setiap kali si dia mahu berkongsi cerita. Selagi pasangan anda masih mahu berhubung maknanya si dia masih lagi serius untuk meneruskan hubungan yang dijalin walau jarak waktu dan masa memisahkan anda berdua.

2. EKSPRESIKAN PERASAAN BUAT SI DIA

Sedangkan pasangan yang sering bersama pun kadang sukar untuk menyatakan perasaan sebenar apatah lagi mereka yang bercinta jarak jauh. Namun ada cara bagaimana anda boleh memperbetulkan situasi ini. Dr. Gary Chapman menerusi artikelnya ‘The Five Love Languages for Singles’, menyatakan cara terbaik meluahkan perasaan adalah dengan pemilihan kata dan ayat yang betul kepada pasangan anda.

Usah mudah terlarut emosi ketika menyatakan sayang atau rindu kerana itu belum tentu akan membuat pasangan anda selesa malah lebih teruk merimaskan. Apa yang boleh dilakukan, hantarkan kiriman kata-kata pujangga cinta melalui e-mel berserta lagu yang tepat dengan perasaan anda ketika itu. Hal ini merupakan salah satu saluran yang boleh anda lakukan untuk mengekspresikan perasaan kepada si dia.

3. TULUS DAN SETIA

Syarat pertama harus jujur dan telus. Tiada apa yang boleh kekal lama tanpa ketulusan juga ketelusan dalam mengukuhkan sesuatu perhubungan. Jika syarat ini tidak berjaya dipegang kedua-dua belah pihak maka kasih dijalin hanya sekadar di permukaan, sama ada kerana takut putus atau sekadar bermain tarik tali.

Dr. Greg Guldner, pengarang ‘Long Distance Relationship : The Complete Guide‘ menyatakan 70% daripada pasangan yang mengalami epidemik cinta sebegini selalunya gagal dalam mempertahankan perhubungan kerana tidak mampu membiasakan diri dengan perubahan yang berlaku bila berhadapan dengan situasi baru ini.

4. BERIKAN KEJUTAN

Kejutan manis buat si dia adalah perkara yang sentiasa boleh anda fikirkan. Tidak salah wang yang anda laburkan setiap kali keluar bersama dulu dikumpul dan gunakan untuk memberi kejutan dengan mengunjungi si dia yang jauh. Hal ini pasti saja akan memberi keterujaan kepada pasangan selain menjadi bukti sayang kepada si dia.

Jika masih belum mampu untuk melakukan perkara tersebut banyak kejutan lain boleh diberi seperti mengirimkan CD band tempatan kegemarannya atau membuat kolaj memori, kompilasi komunikasi anda berdua di media sosial seperti Yahoo Messenger dan jadikannya satu himpunan seakan cerpen. Pasti akan membuat si dia tersenyum kembali ketika membacanya

5. RAIKAN MASA SENDIRI

Cipta hobi serta minat baru agar masa lapang yang selalunya anda habiskan bersama si dia terisi. Dekatkan diri dengan aktiviti kesukaan anda seperti membeli-belah, bersukan atau meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan anda.

Aktiviti begini mampu menukar duka sendiri anda selain memberi pengalaman berbeza ia juga pasti akan membikin si dia ingin tahu lebih lagi tentang aktiviti yang anda lakukan. Elakkan dari bersendirian dan ia boleh menyebabkan anda sentiasa teringatkan si dia. Penuhi hari demi hari anda dengan aktiviti berfaedah dan boleh menceriakan hari anda!

AWAS! Boleh Ke Lelaki Pakai Inai Masa Kahwin?

Menjelang hari perkahwinan, pelbagai persiapan perlu dibuat bagi memastikan majlis berjalan dengan lancar. Begitu juga persiapan mempersiapkan diri tidak dilupakan termasuk memakai inai di jari yang cukup sinonim dengan majlis perkahwinan. Entri kali ini berkongsikan hukum memakai inai buat wanita dan lelaki.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak.

Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan.

3. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.

4. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

Hukum Memakai Inai Bagi Wanita

1. Menurut ulama Mazhab Maliki dan Syafi’ei, wanita yang bersuami disunatkan memakai inai pada setiap masa kerana inai merupakan perhiasan dan kecantikan. Wanita yang bersuami sunat berhias untuk suami sepanjang masa.

2. Wanita yang tidak bersuami, ulamak mazhab Maliki berpendapat harus, manakala ulamak mazhab Syafi’ei berpendapat makruh kerana dibimbangi berlaku fitnah ke atas diri wanita itu dan orang lain.

3. Walaubagaimanapun, wanita yang hendak berihram haji atau umrah disunatkan memakai inai mengikut pendapat semua mazhab sama ada yang bersuami atau tidak.

4. Selain memakai inai di tangan, iaitu dari hujung jari hingga ke pergelangan, wanita juga harus memakai inai di tapak kaki mereka hingga ke buku lali khususnya wanita yang bersuami.

Hukum Memakai Inai Bagi Lelaki

Fuqahak semua mazhab berpendapat haram bagi lelaki memakai inai di tangan atau di kaki kerana inai merupakan perhiasan bagi wanita.

Lelaki tidak harus meniru wanita sama ada pakaian atau perhiasan sebagaimana sabda Nabi s.a.w. bermaksud:
“Allah laknat lelaki yang menyerupai atau meniru wanita dan wanita yang menyerupai atau meniru lelaki.”

Antara kata-kata fuqahak dalam masalah ini:

1. “Adapun menginaikan dua tangan dan dua kaki, maka disunatkan bagi wanita yang bersuami kerana terdapat Hadis-hadis yang masyhur mengenainya. Dan perbuatan itu haram bagi lelaki kecuali kerana keperluan seperti berubat dan sebagainya…” Imam an-Nawawi di dalam kitab ‘Al-Majmuk”

2. “Dan tidak harus menginaikan dua tangan kanak-kanak lelaki dan dua kakinya kecuali kerana ada keperluan untuk berbuat demikian, tetapi harus bagi wanita…” Al-Fatawa al-Hindiyyah. Dinyatakan di dalam fatwa tersebut tidak harus diinaikan tangan dan kaki kanak-kanak lelaki. Maka lelaki dewasa lebih-lebih lagi.

3. “Adapun menginaikan dua tangan dan dua kaki, maka disunatkan untuk wanita dan diharamkan untuk lelaki kecuali untuk berubat…” ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud.

Kesimpulan

Kesimpulannya, inai adalah perhiasan wanita. Hukum memakainya adalah harus, sunat dan dalam keadaan tertentu makruh, iaitu bagi wanita yang tidak bersuami menurut pendapat fuqahak mazhab Syafi’ei.

Bagi lelaki adalah haram kecuali dalam keadaan terpaksa seperti untuk berubat dan sebagainya. Justeru, adat lelaki memakai inai ketika akad nikah dan walimah adalah tidak selari dengan ajaran Islam dan mesti dihentikan.

Ada sedikit percanggahan tentang hukum pemakaian inai bagi lelaki antara kenyataan yang dikeluarkan oleh majlis fatwa dengan keterangan di atas.

Percanggahan pendapat adalah perkara biasa, bagaimanapun sebaiknya kita mengambil pendekatan untuk mengelakkan dari menggunakan inai kerana dikhuatiri ia adalah perhiasan wanita yang haram dipakai lelaki.

Loading...