HARUN YAHYA: GRAND MASTER FREEMASON YANG SELAMA NI MENYAMAR SEBAGAI PENDAKWAH ISLAM TURKI?

0
603

Sebelum ni kita pernah dengar pasal beberapa kumpulan ajaran sesat macam Jonestown, Colonia Dignidad, Al-Arqam, Ayah Pin, dan Tuhan Harun. Tapi kali ni kitorang nak cerita pasal Harun Yahya, seorang televengelist (pendakwah agama yang selalu berdakwah dalam TV) dari Turki.

Dia ditahan polis Turki baru-baru ni, bersama-sama 234 pengikutnya bagi siasatan kes penipuan, melanggar undang-undang anti-pengganas, pengubahan wang haram, serangan seksual, pengintipan tentera,  mewujudkan organisasi haram untuk keuntungan peribadi, dan bermacam lagi pertuduhan.

Harun Yahya, pendakwah Islam Turki yang selalu membincangkan konspirasi dunia

Harun Yahya bukanlah nama sebenar pendakwah Islam Turki ni. Dilahirkan sebagai Adnan Oktar, dia gunakan nama Harun Yahya untuk nama pena sebagai penulis buku dan pendakwah media.

Dia berasal dari Ankara, tapi kemudiannya berpindah untuk menyambung pelajarannya di Universiti Mimar Sinar, Istanbul.Masa dia melanjutkan pelajaran kat sana, dia perasan ramai yang berideologi haluan kiri, percayakan Darwinisme dan menjadi ateis. Disebabkan perkara ni la dia baca banyak buku untuk faham apa sebenarnya yang berlaku.

Kemudian pada awal tahun 1980-an, Adnan kumpulkan ramai pelajar muda yang berdekatan untuk kongsi pandangannya tentang Islam. Mulanya memang orang tak nak dengar sebab lebih percayakan teori-teori evolusi. Tapi lama-kelamaan, semakin ramai orang yang join dengar dakwahnya pasal Islam. Diorang semuaterpegun dengan kata-kata dan hujahnya pasal Islam, evolusi, dan konspirasi dunia terutamanya.

Dia kemudiannya mula menulis beberapa buah buku. Kalau korang ni jenis suka baca buku-buku konspirasi dan agama mungkin pernah terdengar nama Harun Yahya ni. Antara buku-buku yang ditulisnya adalah Fascism The Bloody Ideology Of Darwinism, Justice and Tolerance in the Quran, Romanticism A Weapon Of Satan , dan lebih 300 buah buku lagi.

Buku-bukunya kemudiannya diterjemah kepada 73 bahasa, termasuk bahasa Malaysia. Antara karya-karya penulisannya yang berkaitan sains, sejarah dan Islam sangat diminati di Malaysia dan Indonesia.

Hujahnya tentang Darwinisme yang mengatakan penyebab keganasan berlaku di dunia

Dalam banyak-banyak karya penulisannya, Atlas of Creation adalah yang paling diminati sebab dia menolak teori evolusi dengan hujahnya. Antara isu paling dikagumi ramai adalah apabila dia gigih menyangkal Teori Evolusi dengan menegaskan yang ia sebenarnya tak wujud. Malah, dia pernah mencabar saintis untuk membuktikan kewujudan evolusi.  

Tapi, ia dibidas oleh Professor Richard Dawkins yang memberitahu segala cacat cela hujah Harun Yahya dan orang-orang yang mempercayainya. Tapi, penyokong Harun Yahya be like…

Selain tu juga, dia juga menolak keras teori Darwinisme sebab dia rasa ideologi tu dah jadi satu pemikiran yang menggalakkan materialisme dan ateisme, penyebab manusia menafikan kewujudan Tuhan dan menghapuskan nilai-nilai moral.

Adnan sendiri pernah menegaskan lagi perkara ni masa diinterview wartawan BBC pada tahun 2010. Dia memetik dan menerangkan penulisan dalam bukunya, ‘The Disasters Darwinism Brought To Humanity’ dengan mengatakan yang teori Darwin adalah sumber inspirasi utama bagi keganasan yang berlaku.

“Hitler, Mussolini, Stalin dan kebanyakan pengganas terkenal yang  lain secara terang-terangan mengatakan pemikiran mereka dipengaruhi oleh Darwin… tanpa Darwin tidak akan ada terorisme,” tegas Oktar.

Hujahnya, Darwinisme mengetengahkan teori “Survival of the fittest”, atau “yang paling kuat akan terus bertahan”. Teori ni dikatakan dah bagi inspirasi kepada Nazisme, komunisme, dan segala bentuk perkauman yang merasakan diorang ni bangsa atau kumpulan hebat.

Jadi untuk elakkan orang lain ‘pijak’ bangsa diorang, diorang kena berkuasa. Sentimen ni la yang dimainkan oleh Hitler, Musolini dan beberapa diktator yang lain. Jadi, perkara ni dijadikan hujah yang mengatakan teori Darwin juga memberi pengaruh besar dalam ideologi bapa komunisme, iaitu Karl Marx.

Kat sini kitorang tak boleh nafikan yang dia memang ada karisma dan tarikan tersendiri bila berdakwah. Nampak macam seorang yang sangat hebat, sebab banyak ilmu dengan apa yang diperdebatkan, bukan?

Tapi apa yang orang tak tahu adalah, dia sebenarnya seorang pemikir yang bahaya dan sangat berpengaruh. Daripada seorang pendakwah, dia berjaya mendoktrinkan pengikutnya menjadikan sebuah organisasi, atau lebih tepat lagi, sebuah kultus! (Bunyi macam pernah jadi kat Malaysia juga, kan?)

Kenapa gerakan kultus ni tak pernah difatwakan haram sejak dulu lagi?

Tadi kitorang ada bagitau yang gerakan kultus Adnan Oktar mulaberdakwah sejak awal 1980-an, mempunyai ramai pengikut tersendiri, dan jadi macam sebuah organisasi. Tapi, apa yang orang luar tak tahu adalah organisasi dalamannya tu dah jadi sebuah kultus, macam Scientology di mana dia ada mazhab tersendiri.

Adnan Oktar fikir dia dan pengikutnya adalah muka baru bagi Islam moden. Salah satunya adalah dengan mencadangkan solat hanya perlu dilakukan 3 kali sehari, dan bukannya 5 kali sehari macam umat Islam yang lain. Malah perempuan juga tak perlu bertudung sebab bertudung boleh rosakkan kulit.

Bukan tu je, dia juga dalam masa yang sama menggalakkan para pengikutnya memutuskan hubungan dengan keluarga diorang yang tak setuju dengan ajarannya. Tapi, diorang kena habiskan harta mak bapak diorang dulu.

Tak cukup dengan tu, kultus ni juga bebas mengamalkan seks sesama sendiri dalam kalangan kumpulan tu. Tujuannya adalah untuk merapatkan hubungan antara satu sama lain.

Kalau dah teruk macam tu sekali, kenapa kerajaan Turki tak haramkan perkara ni dari berleluasa?

Jawapannya, perkara ni cuma jadi dalam organisasi dalamannya sahaja, dan hanya orang dalam organisasi kultus ni saja yang tahu macam mana sebenarnya kultus ni berfungsi. Tapi nampaknya Adnan Oktar makin berani untuk menunjukkan belangnya beberapa tahun kebelakangan ni bila dia siarkan beberapa ahli kultusnya yang… tak menggambarkan Islam macam yang dia tulis.

Tapi… organisasi kultusnya penuh dengan anak kucing dan singa?!

Kalau korang nak tahu, dia siap ada channel tv tersendiri kat Turki, iaitu A9TV. Ia adalah sebuah rancangan bual bicara agama.Disebabkan channel tv ni jugalah orang ramai mula sangsi dengan pendakwah Islam ni.

Kalau pendakwah Islam lain selalu menekankan tentang aurat seorang perempuan, lain pula pandangan Adnan Oktar terhadap perempuan.

“Penindasan menyebabkan banyak masalah untuk kulit dan rambut mereka,” – Adnan Oktar, dalam rancangan bual bicaranya di A9TV.

Beberapa perempuan berambut blonde dan muka tegang sebab pembedahan plastik kemudiannya duduk dan menyertai bual bicara Adnan ni. Diorang ni antara ahli kultusnya, iaitu gundik Adnan yang juga dipanggil ‘Kittens’. Manakala lelaki muda pula dipanggil ‘Lion’. Daripada sebuah rancangan bual bicara agama, sekelip mata je bertukar macam “Keeping Up with Kardashians”, tapi watak utamanya adalah Adnan Oktar.

Rancangan diteruskan dengan membincangkan isu salah faham tentang perempuan Islam, di mana kultus tu percaya yang perempuan sebenarnya lebih superior dari lelaki. Bukan tu je, salah seorang ‘Kittens’nya kemudian menekankan,

“Di sini, perempuan biasanya didahulukan. Ini tempat paling baik untuk perempuan tinggal dalam dunia ni. Di Amerika, perempuan tak dilayan sama rata. Malah, ramai CEO perempuan bergaji kurang daripada lelaki. Darwin bencikan perempuan.” – perbincangan antara Kittensnya,hasil pendoktrinan Adnan Oktar yang menekankan penolakan Darwinisme.

Rancangan tu jadi makin pelik bila salah seorang Kittens menari di depan Adnan macam seorang penari gelek kepada pelanggannya. Adnan nampaknya dah mencampur adukkan dakwah agama dengan perempuan seksi menari, malah betul-betul menikmati tarian perempuan seksi tu. Ironinya! Perkara ni juga menyebabkan kerajaan Turki bertindak menggantung program TVnya pada Februari lepas.

Perekrutan Kittens dan Lion ni sendiri ada sisi gelapnya. Diorang nidirekrut orang-orang Adnan dari universiti-universiti swasta di negara tu. Diorang bakal diberi barangan mewah, makanan sedap, dan macam-macam keistimewaan.

Tapi sekali dah direkrut masuk dalam kultus ni, keluarga diorang kena sign kontrak untuk terus putus pertalian keluarga, dan Kittens ni juga tak dibenarkan berhubung dengan dunia luar. Dia buat ni mungkin sebab nak jaga rahsia apa yang diorang sebenarnya buat dalam organisasi kultus tu.

Menulis hal konspirasi selama bertahun-tahun, tapi kemudiannya mengaku menerima anugerah Grand Master Freemason

Terkenal dengan siasatannya tentang konspirasi Yahudi, Adnan sebelum ni pernah menulis sebuah buku tentang gerakan Yahudi dan Freemasonry (Yahudilik ve Masonluk) pada tahun 1986. Buku tu menerangkan tentang misi utama Yahudi dan Freemason di Turki adalah untuk menghakis nilai-nilai kerohanian, agama dan moral rakyat Turki.

Kemudiannya pada tahun 2014, Adnan pernah mengakui secara terbuka yang dia menerima anugerah Grand Master Freemason. Dengan pangkat yang ada, Adnan diberi sokongan penuh oleh freemason untuk menubuhkan lodge atau markas freemason.

Bagi yang kurang tahu, Freemason adalah sebuah pertubuhan konspirasi yang merancang untuk menguasai dunia, dan Illuminati dipercayai penyembah syaitan dan dajjal yang berhasrat untuk membina sebuah New World Order atau One World Government.

Adnan banyak kali menegaskan yang materialism, gaya hidup anti-agama dan tak bermoral adalah hasil pendoktrinan oleh orang Yahudi dan Freemason. Tapi dia nampaknya dah lama mengamalkannya secara diam-diam.

Dari seorang pendakwah agama yang dihormati, ramai yang terkejut dengan perubahan, atau kebenaran sebenar tentang Harun Yahya yang mempunyai ramai peminat di serata dunia. Penangkapannya pada minggu lepas, membuka mata ramai orang yang mula nampak macam-macam benda yang tak kena dengan dia ni.

Ketua Agensi Hal Ehwal Agama Turki, Ali Erbas, sebelum ni pernah menyifatkan Harun sebagai individu yang dah hilang keseimbangan mental. Tapi ni bukanlah kali pertama seumpamanya sebab pada tahun 1986, dia pernah ditangkap polis Turki atas kesalahan menentang sekular, dan ditempatkan di Hospital Sakit Jiwa Barkikoy, Turki lepas didiagnosis mempunyai ‘obsessive-compulsive personality disorder’ dan ‘paranoid schizophrenia’.

Tapi, Harun Yahya menafikannya dengan mengatakan tuduhan tu tak berasas dan berniat untuk menjatuhkan kerjanya sebagai seorang pendakwah.

Agama tak sepatutnya digunakan untuk menolak sains, tetapi sains perlu dibangunkan dengan agama

Walaupun dikagumi ramai pihak, tapi sebelum ni ada beberapa orang yang dah nampak permainannya, dan salah satunya adalah Bilal Philips yang juga seorang pendakwah dan penulis yang berasal dari Jamaica, dan menetap di Qatar. Dia mengatakanAdnan Oktar ni sebenarnya ada agenda tersembunyi melalui penulisannya yang tak masuk akal, dengan mengatakan dunia ni hanyalah sebuah ilusi.

Manakala wartawan veteran Malaysia, Zin Mahmud pun tak ketinggalan memberikan pandangannya terhadap penangkapan Harun Yahya baru-baru ni,

“Orang Islam suka bila hujah hujah sains dipatahkan oleh agama. Orang Islam ada semacam berasa inferiority complex pada sains maka kita berasa selesa kalau kita dapat memperkecilkan sains. Bagi aku buku-buku seperti ini membuat orang Islam menjauhkan diri daripada sains dan akhirnya mengelak diri daripada menimba ilmu sains.” – Zin Mahmud, dipetik dari Facebooknya.

Perkara ni merujuk kepada pengalamannya sendiri yang pernahmenelefon seorang pegawai IKIM apabila dia dapat tahu ada sebuah seminar mengenai pemikiran Harun Yahya akan diadakan. Dia memberi pendapat yang ia akan memberi kesan negatif pada umat Islam Malaysia. Tapi, teguran tu tak diambil berat sebab ‘karya-karya Harun Yahya ini mengujakan dan memenuhi perasaan orang Islam yang gemar dibuai dengan hujah-hujah seperti ini’.

Kalau kita kaji ballik, agama Islam sendiri menyuruh umatnya supaya belajar memahami banyak perkara. Malah, takde dalil yang menghalang kemajuan umatnya.

“Islam tidak pernah menjadi penghalang kepada kemajuan dan sains. Ia menghargai aktiviti intelektual manusia sehingga ke tahap untuk menempatkannya mengatasi malaikat” – Muhammad Asad, Islam di Persimpangan Jalan, p59.

Sumber : Soscili