Guan Eng Tunjuk Surat Kelantan Minta Wang Dari Pusat Untuk Bayar Gaji

0
40

Kembali menyanggah Kelantan, Lim Guan Eng hari ini tampil mengemukakan data daripada Kementerian Kewangan untuk membuktikan negeri terbabit mengalami kekurangan dana untuk membayar gaji kakitangannya.

Bercakap kepada media di parlimen hari ini Lim menunjukkan surat dari Pejabat Perbendaharaan Kelantan yang meminta bantuan pinjaman daripada pusat untuk membayar gaji kakitangan yang berkhidmat dengan kerajaan negeri. Surat itu ditulis Pegawai Kewangan Negeri Kelantan Datuk Nik Kazim Nik Yusoff.

Melalui salinan surat itu, Nik Kazim menyatakan kerajaan Kelantan terdedah kepada kelewatan pembayaran gaji kakitangan serta bil semasa.

Surat bertarikh 18 Jun 2018 itu menyatakan Kelantan perlu pendahuluan dana sebanyak RM97 juta pada Julai bagi menampung perbelanjaan luar jangka serta ketiadaan punca baru sumber hasil. Surat itu juga menyatakan kerajaan Kelantan memohon pendahuluan sebanyak RM97 juta bagi menampung aliran wang tunai Kelantan untuk 2018. Turut dijelaskan dalam surat itu bagaimana Kelantan mencatatkan aliran menaik defisit akaun semasa dengan jumlah terkumpul berjumlah RM19.46 juta dan defisit kumpulan wang pembangunan berjumlah RM45.03 juta, tidak termasuk tanggungan semasa berjumlah RM49.73 juta.

Kata Lim sebagai kerajaan apa yang dinyatakan mengenai kedudukan kewangan Kelantan dibuat berdasarkan angka-angka dan fakta sebenar. Lim yang juga anggota parlimen Bagan menambah, Kelantan menerima pinjaman pendahuluan sebanyak RM100 juta yang belum dijelaskan sehingga 31 Disember 2017. Dalam keadaan begitu Kota Bharu sekali lagi memohon bantuan pinjaman pendahuluan pada Jun tahun ini.

SUMBER : Kini Tv