Gadis Viral Guna Tong Gas Untuk Bersenam Akan Berkahwin

0
137

GADIS yang menjadikan tong gas sebagai alat senaman bagi mengekalkan kecergasan sehingga tular akan melangsungkan perkahwinannya, Sabtu ini.

NOR Syarmimi menunjukkan kaedah mengangkat tong gas yang boleh digunakan dalam lebih 20 gerakan senaman.

Gelagat Nor Syarmimi Sallehudin yang mengangkat tong gas ketika senaman, pernah menjadi debat masyarakat yang mengeluarkan pelbagai pandangan termasuk sindiran yang menyakitkan hati.

Bagaimanapun, pandangan negatif masyarakat itu tidak diambil peduli Nor Syarmimi yang menjadikan tong gas kosong sebagai ‘teman’ bersenam sejak empat tahun lalu.

Nor Syarmimi yang mengangkat tong gas dengan berat 16.6 kilogram berkata, bakal suaminya, Muhammad Salman Ahmad Ali, 25, tidak kisah dengan rutin pelik yang diamalnya itu.

Beliau yang juga bertugas sebagai jurulatih kecergasan berkata, bakal suaminya juga peminat latihan kecergasan dan mereka berkenalan ketika membuat aktiviti di gym di Kota Bharu, sejak empat tahun lalu.

Gadis lulusan Diploma Fisioterapi daripada Universiti Malaysia Kuala Lumpur (UniKL) berkata, kaedah mengangkat tong gas boleh digunakan dalam lebih 20 gerakan senaman antaranya squat, abs roller, deadlift dan lunges.

“Terbaru saya cuba gunakan tong gas dalam aktiviti senaman tabata dan untuk mengekalkan kekuatan otot namun jangan risau kerana kaedah ini tidak membahayakan dan tidak memberi kesan jatuh peranakan seperti yang dikatakan masyakarat kerana dibuat dengan teknik yang betul,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Golok, di Bachok.

Syarmimi berkata, setiap hari dia memperuntukkan sekurang-kurangnya 15 minit untuk bersenam dengan tong gas kuning miliknya itu.

Ini kerana dia semakin sibuk dengan rutin sebagai jurulatih kecergasan yang kini melatih 32 pelanggan individu dan kumpulan Hi Fat seramai 50 orang yang berusia 16 hingga 53 tahun.

“Setiap hari saya mempunyai tujuh slot latihan dengan setiap latihan selama sejam setengah dan bagi Hi Fat saya masuk mengajar sejak April 2017 dan melihat aktiviti kecergasan semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Berhubung dengan penerimaan keluarga bakal suaminya, Nor Syarmimi berkata, beliau bersyukur kerana mereka mengetahui minatnya dalam bidang kecergasan dan menerimanya.