Dokumen PH Bukti Hutang Negara RM688 Bilion – Najib

0
60

PEKAN: Kenyataan pemimpin kerajaan yang sering mendakwa hutang negara berjumlah RM1 trilion akan menyebabkan Malaysia rugi kerana boleh menimbulkan kesangsian dalam kalangan pelabur terhadap keadaan ekonomi negara.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11(RMK-11) bagi 2016 sehingga 2020 dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, membuktikan hutang negara berjumlah RM688 bilion mengikut tarif antarabangsa.

Beliau berkata, definisi hutang RM1 trilion yang sering disebut pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mengikut tarif antarabangsa kerana memasukkan dua unsur tambahan iaitu liabiliti luar jangka serta pembayaran pajakan.

“Dokumen PH semalam mengesahkan apa yang BN perkatakan selama ini, saya tidak pernah berganjak bahawa itulah (RM688 bilion) hutang negara sebenar.

“Kalau sebut RM1 trilion, ini akan mendatangkan reaksi dalam kalangan pelabur dan pasaran global sangsi dengan keadaan ekonomi negara kita yang hanya akan merugikan Malaysia.

“Apa pun kita hendak buat walaupun hendak main politik, jangan korbankan kepentingan negara,” katanya pada media selepas makan tengah hari dan meninjau Medan Makan D’ Kuala Pahang dekat sini, hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, berkata Kajian Separuh Penggal RMK-11 yang dibentangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam juga membuktikan bahawa hutang negara yang berada pada tahap 50.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini semakin menguncup berbanding 54 peratus tiga tahun lalu.

“Ini juga bererti bahawa satu lagi tuduhan mereka bahawa kerajaan BN boros adalah tidak benar sebab kalau boros hutang kita meningkat tetapi hutang kita sebaliknya menguncup.

“Ia bermakna kerajaan terdahulu sudah mentadbir negara dengan sikap bertanggungjawab… kita tidak boleh mengurangkan secara mendadak sebab perlu pinjaman untuk pembangunan negara,” katanya.

Dokumen :

CMD.22.2018 – RMK 11 BM Com… by on Scribd

SUMBER : Berita Harian