Dakwah Dr Zakir Tak Sesuai Di Negara Ini?

0
198

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata ini kerana Malaysia adalah sebuah negara yang memiliki kepelbagaian kaum dan etnik.

Kaedah digunakan pendakwah dari India, Dr Zakir Naik yang dianggap merendahkan agama lain tidak sesuai dengan budaya negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata ini kerana Malaysia adalah sebuah negara yang memiliki kepelbagaian kaum dan etnik.

“Secara peribadi saya merasakan kaedah penyampaian atau dakwah Dr Zakir tidak sesuai, di mana kita tidak perlukan kaedah perdebatan yang mencaci agama lain, sebaliknya kita lebih sesuai dengan kaedah berdialog,” katanya dalam ucaptama di Seminar Kebangsaan Isu dan Cabaran dalam Hubungan Masyarakat Majmuk, anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, hari ini.

Katanya, umat Islam seharusnya menerima perbezaan di sebuah negara majmuk dengan fikiran terbuka dan saling memahami.

“Kepelbagaian ini seharusnya kita terima dengan baik dan tidak anggap ia sebagai suatu musibah atau kecelakaan sebaliknya suatu hakikat yang perlu kita tangani dengan baik sebagai rakyat.

“Kalau kita fahami susur galur itu, kita akan terheret dengan masalah lebih besar iaitu perkauman sempit yang secara langsung menunjukkan Islam itu sempit yang menjadikan kita terhimpit,” katanya.

Dr Zakir merupakan penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 2013 dan sering menyampaikan ceramah mengenai Islam dan perbandingan agama di seluruh dunia.

Beliau disiasat pihak berkuasa India sebelum ini atas dakwaan pengubahan wang haram dan jenayah berkaitan keganasan.

SUMBER : Astro Awani