Cara Paling Mudah Menanam Pokok Mulberry

0
28

3 jenis pokok Mulberry yang biasa dilihat atau ditanam di seluruh dunia ialah mulberry putih, mulberry merah dan mulberry hitam.

Mulberry juga terdapat dalam pelbagai saiz dan bentuk buah yang boleh ditemui di serata tempat.

Mulbery hitam atau nama saintifiknya morus nigra adalah pokok yang biasa ditanam di negara kita kerana sesuai tumbuh di kawasan bersuhu panas.

Jenis pokok mulberry hitam, buahnya akan bertukar menjadi hitam apabila sudah masak sepenuhnya.

Buah mulberry berwarna hitam mempunyai rasa manis dan berlemak berbanding buah yang masih berwarna merah.

Jadi, anda kenalah menunggu buah mulberry benar-benar sudah masak sehingga buahnya menjadi warna hitam barulah dipetik.

Cara Menanam Mulberry

Cara menanam pokok mulberry adalah dengan menggunakan keratan batang yang telah matang.

Anda boleh mendapatkan keratan batang pokok mulberry ini dari sahabat atau kenalan yang ada menanamnya atau membeli secara online.

Keratan batang pokok mulberry haruslah ditanam dalam polibag terlebih dahulu.

Perlu dimaklumkan bahawa pokok mulberry sesuai tumbuh pada nilai PH tanah yang sedikit berasid iaitu 5.5 hingga 6.5. Maksudnya, media semaian tidak perlu ditambah serbuk kapur pertanian.

Anda boleh menggunakan apa-apa jenis tanah untuk media tanaman seperti tanah lampung, tanah hitam, tanah kebun atau tanah campuran.

Masukkan tanah ke dalam polibag hingga penuh dan pastikan tanah sedikit dipadatkan agar tidak berkurangan, mendap atau turun jika tanah tersebut disiram.

Pada tanah dalam polibag, buat lubang menggunakan jari anda atau kayu sama saiz dengan keratan batang pokok mulberry kira-kira 4 hingga 5 inci dalam.

Tanam keratan batang pokok mulberry pada lubang yang dibuat setengah dari panjang keratan batang mulberry tersebut dan timbus dengan tanah serta padatkannya agar keratan tersebut tidak mudah tumbang jika disiram.

Pastikan menanam keratan batang pokok mulberry dengan cara yang betul di mana lihat mata tunas pada setiap keratan batang tersebut dan tanam keratan batang dengan mata tunas menghala ke atas. Jangan tanam terbalik.

Seterusnya, siram dengan air yang mencukupi.

Keratan pokok mulberry yang sudah ditanam harus disimpan atau diletakkan di kawasan teduh terlebih dahulu sehingga 4 minggu atau sehingga mata tunas mengeluarkan tunas kira-kira 3 inci. Barulah dipindahkan ke kawasan menerima sinaran matahari penuh.

Dalam tempoh percambahan tunas, jangan sesekali digoyang atau tergoyang kerana keratan batang pokok mulberry akan mati disebabkan kerosakan pada akar muda yang mula keluar dari pangkal batangnya.

Selepas 2 minggu ditanam dalam polibag, tunas akan mulai bercambah atau tumbuh.

Jika pokok mulberry anda berbuah ketika cambahan, sila buka buah tersebut untuk memberi laluan pokok mulberry membesar.

Ketika ini media tanaman atau tanah jangan terlalu kering, siram tanah biarkan ia sentiasa lembab. Tanah lembab diperlukan untuk mempercepatkan pengeluaran akar keratan batang pokok mulberi anda.

Apabila pokok mulberry anda sudah berusia 4 minggu, tunasnya sudah melebihi 3 inci dan bolehlah dipindahkan ke tempat yang terkena sinaran matahari penuh.

Masa ini anda boleh membubuh baja organik dengan menanamnya ke dalam tanah tetapi tidak terkena pada batangnya.

Proses Memindahkan Anak Pokok Mulberry

Pokok mulberry sudah boleh dipindahkan ke tempat baharu atau ditanam di dalam tanah apabila ia sudah berusia sebulan setengah atau 2 bulan.

Dalam tempoh ini, pokok mulberry sudah kukuh dan kuat. Buat lubang pada tanah dengan mengali sedalam 1 kaki (ikut saiz polibag yang anda gunakan), jika polibag anda bersaiz besar maka besarlah lubang yang anda harus gali.

Pada lubang tersebut, bubuh baja organik 2 genggam dan timbus senipis mungkin dengan tanah, cukup menutupi baja tersebut.

Dengan mengunakan pisau tajam, potong polibag memanjang dari atas ke bawah sebelah menyebelah. Berhati-hati ketika memotong jangan sampai terpotong akar pokok mulberry.

Buka plastik polibag perlahan-lahan agar tanah tersebut tidak berderai. Tanam tanah pokok mulberi ke dalam lubang dan timbus semula dengan tanah hingga selesai. Siram pokok mulberry anda dengan air secukupnya.

Cuaca

Jika anda menanam pokok mulberry pada musim kemarau, teduhkan pokok mulberi dengan jaring hitam selama seminggu.

Ini bagi mengelak pokok mulberry anda mati akibat cuaca panas. Jika keadaan cuaca terkawal, tidak perlu menggunakan penutup jaring hitam.

Pokok mulberry cepat membesar dengan pembajaan yang konsisten. Bubuh baja sebulan sekali untuk hasil yang memuaskan.

Pokok Mulberry Perlu Dicantas Dan Tuaian Buah Pertama

Setelah pokok mulberry anda berusia 4 hingga 6 bulan yang pertama, cantas batang pokok mulberi anda.

Caranya, cantas batang kira-kira 10 hingga 12 inci dari pucuknya dan buka semua daun pada batang. Tujuan mencantas ialah untuk membolehkan pokok mulberry anda menghasilkan buah.

Selepas dicantas, pokok mulberry anda akan mula bertunas selepas 2 minggu cantasan yakni tunas bersama buahnya.

Jangan gusar atau bimbang jika buah yang terhasil bersaiz kecil kerana kali pertama menghasilkan buah memang seperti itu.

Tetapi, setelah 2 tahun ke atas, saiz buah mulberry anda akan semakin besar saiznya mengikut saiz pokok.

Cantas semula pokok mulberry anda selepas 4 hingga 5 bulan dari cantasan yang pertama. Buat cara tersebut sepanjang tahun untuk mendapatkan buah pokok mulberry.

Dengan cara ini pokok mulberry tidak akan meninggi dan pada masa yang sama anda dapat rezeki buah yang enak dari pokoknya.

Tanaman Tepi Pagar

Pokok mulberry sesuai ditanam di tepi pagar rumah anda, tanam sebaris dengan pagar di sekeliling rumah dengan jarak rapat.

Ia bukan sahaja menjadi pokok hiasan tetapi sebagai penghadang yang praktikal.

Pokok mulberry juga boleh ditanam di dalam pasu jenis besar dan sekiranya pokok mulberry anda terlalu rimbun atau tinggi, cantas pokok mulberry tersebut.

Dengan cantasan ini pertumbuhan pokok mulberry dapat dikawal dan paling penting ia akan menghasilkan buah yang enak dan sedap.

SUMBER : Sentiasapanas.com

Nota : Jika Anda Rasa Artikel Ini Menarik Mohon Kongsikan Kepada Rakan Rakan Anda Di Facebook Dan Jangan Lupa Untuk Like dan Terus Ikut Kami Di Lubok Cerita Express