Bolehkah Pengkhianat Tinggal Di Malaysia – Mufti Perlis

0
154

Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin bersyukur dengan peranan yang dimainkan Ahli Parlimen UMNO dan Pas dalam menyuarakan bantahan mereka di Parlimen kepada P. Waytha Moorthy yang disifatkan sebagai pengkhianat negara.

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bernasib baik kerana tidak dikenakan sebarang tindakan meskipun telah memburukkan negara.

“Ahli Parlimen UMNO dan Pas menyuarakan bantahan mereka kepada pengkhianat negara di Parlimen. Bersyukur atas peranan yang mereka mainkan. Jika di India ada pengkhianat seperti itu (Waytha Moorthy), saya percaya dia tidak sempat pun masuk ke Dewan Parlimen

“Itu pun si pengkhianat ini menganggap kononnya dia tidak diberikan hak di Malaysia. Di India, masjid pun sukar hendak dibina, apatah lagi untuk membina atas tanah haram kemudian meminta kerajaan mengiktiraf.

“Malangnya, dengan tidak malu dia memfitnah negara yang memberi kebaikan yang banyak untuk dirinya sehingga mempunyai pelajaran kemudian menjadi menteri,” katanya dalam status Facebooknya di sini.

Kelmarin, Ahli UMNO dan Pas sepakat menyerang Waytha Moorty di Parlimen yang gagal memberi penjelasan dalam isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Beliau yang bertanggungjawab di bawah portfolio perpaduan itu turut digelar menteri penghasut, penipu, jahat serta rasis oleh Ahli-Ahli Parlimen pembangkang ketika sesi perbahasan itu.

Sebelum ini, video lama Waytha Moorthy tular di media sosial dengan kandungan memburukkan negara termasuk kononnya Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik.

Sementara itu, Mohd. Asri berkata, di Malaysia, tidak pernah ada kawasan seperti di India yang kasta tertentu tidak dibenarkan masuk ke negara tersebut.

“Di sini tiada masyarakat dihambakan atau pun diperlakukan sedemikian kerana kastanya seperti yang berlaku di India. Bahkan perkataan ‘pariah’ pun tidak pernah ada dalam ajaran Islam atau pun adat-istiadat Melayu.

“Siapakah yang membawa perkataan ke sini dan kemudian dia pula yang mendakwa Malaysia mengamalkan diskriminasi kaum yang begitu teruk. Apakah rakyat Malaysia boleh membiarkan individu seperti itu terus berada di Malaysia?,” katanya.- UTUSAN ONLINE