Bawa Pedang Samurai Dan Sembur Pemadam Api Ke Atas Orang Awam Dan Polis Tengok Sahaja. Ini Komen PDRM Tentang Insiden Tersebut Dan Ini Sebenar Yang Terjadi

0
12534

INSIDEN pergaduhan antara pemilik bengkel kenderaan dengan pelanggannya di Taman Putra Perdana, Puchong yang tular di media sosial baru-baru ini bukan membabitkan isu perkauman.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, pihaknya mengesahkan pergaduhan yang berlaku pada 12 Disember lalu itu berpunca daripada tidak puas hati mengenai upah membaiki kereta.

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Alza berwarna merah ditunda di bengkel kenderaan berkenaan untuk dibaiki.

Advertisement

“Namun, selepas beberapa hari, pemilik kereta mahu mengambil kenderaannya sebelum dimaklumkan, bayaran upah sebanyak RM410.

“Pemilik kereta bagaimanapun tidak berpuas hati apabila turut dikenakan kos tambahan sebanyak RM200 iaitu kos bayaran parkir dan upah kerja lebih masa,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Katanya, susulan ketidakpuasan hati itu, berlaku pertengkaran antara kedua-dua pihak sehingga mendapat perhatian orang ramai di sekitar kawasan berkenaan.

Abdul Aziz berkata, akibat kejadian itu, polis menahan dua pekerja bengkel berusia 35 dan 43 tahun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 kerana merusuh.

Menurutnya, kedua-dua mereka turut ditahan reman sehingga 20 Disember ini untuk membantu siasatan.

“Kedua-duanya tiada rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga negatif,” katanya.

“Salah seorang mangsa cedera akibat dilibas parang manakala, seorang lagi mangsa pengsan akibat terkena semburan alat pemadam api.

“Kedua-dua mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Putrajaya dan sudah dibenarkan pulang malam tadi,” katanya.

Katanya, anggota daripada Balai Polis Putra Perdana diarahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan berhubung pergaduhan berkenaan.

Malah, katanya, pihaknya turut menghantar lima buah peronda dengan kekuatan 25 anggota termasuk tiga pegawai bagi mengawal keadaan.

Menerusi video yang tular itu, kelihatan seorang lelaki menyerang sebuah kenderaan menggunakan senjata tajam dipercayai parang manakala, seorang lagi lelaki dilihat menyembur alat pemadam api ke arah orang ramai.

SUMBER: Hmetro Online