AES: Tak Jadi Hapus, Akan Ditambah Lebih Banyak

0
36

PUTRAJAYA – Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di semua lebuh raya akan ditambah untuk memastikan pemandu yang melebihi had laju dikenakan tindakan undang-undang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan ini sebagai strategi untuk mengurangkan kemalangan yang berlaku di lebuh-lebuh raya yang kebanyakannya berpunca daripada memandu melebihi had laju yang dibenarkan.

“Dari segi penguatkuasaan undang-undang kita akan bekerjasama dengan pihak lebuh raya khususnya dengan PLUS untuk memasang lebih banyak kamera-kamera AES.

“Ini kerana ada tempat-tempat yang selalu berlaku kemalangan faktornya adalah lebih had laju, kita nak pengguna ikut had laju.

“Kita nak pastikan pemasangan kamera-kamera ini dapat kurangkan memandu melebihi had,” katanya.

Pada masa sama, beliau telah mengeluarkan arahan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk meletakkan penguatkuasa di kawasan Terowong Menora yang sejak kebelakangan ini banyak berlaku kemalangan.

Dengan pemantauan yang lebih ini, diharap kadar kemalangan di kawasan ‘panas’ itu dapat dikurangkan, sekali gus diatasi.

“Kita memang ada meletakkan penguatkuasa di lebuh raya terutama di Terowang Menora. Semalam kita telah meletakkan penguatkuasa kita (JPJ) sepanjang masa di kedua-dua bahagian (arah).

“Tujuannya adalah untuk memberikan amaran kepada pemandu-pemandu,” katanya lagi.

SUMBER : MalaysiaGazette