18 Kenderaan Terbakar Dalam Rusuhan Di Tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Height

0
267

Sebanyak 18 kenderaan terbakar dalam kejadian rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, puluhan individu berkumpul dan merusuh di kawasan tapak kuil berkenaan sebelum tercetus pergaduhan di lokasi terbabit.

Difahamkan, perselisihan faham antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil terbabit menjadi punca pergaduhan dalam kejadian awal pagi tadi itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata sebaik menerima laporan kejadian itu, pihaknya tiba ke lokasi bagi memastikan keadaan terkawal tanpa berlaku sebarang rusuhan.

“Polis akan melaksanakan tugasan mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam ketika proses pemindahan kuil berusia lebih 140 tahun itu. Keadaan di lokasi dilaporkan baik dan terkawal.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.38 pagi tadi.

“Seramai enam pegawai dan anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dikerahkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami mendapati dua kenderaan di tepi jalan lokasi berkenaan sedang terbakar.

“Ketika itu, anggota tidak dapat memadamkan api kerana diganggu oleh perusuh dan menunggu arahan selanjutnya daripada pihak polis yang berada di lokasi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, kebakaran itu membabitkan 18 kenderaan di lokasi kejadian iaitu dua kenderaan di tepi jalan, 16 kenderaan di tapak pembinaan dan dua motosikal.

“Kejadian ini tidak membabitkan mangsa,” katanya.

SUMBER : Mindarakyat